Kami berhijrah ke Australia Jun 2015. Anak2 yang sedang belajar di sekolah menengah dan INTEC masih tinggal di Malaysia. Tahun 2016 barulah semuanya memulakan persekolahan di Sydney, dan Rayyan di Canberra.
Semasa Rayyan memohon belajar ke Australia melalui INTEC tahun 2014-2015 dulu, JPA membekukan biasiswa dan pinjaman ke sana, jadi hampir semua rakan seangkatan dengan Rayyan ditaja keluarga, kecuali sedikit yang dapat biasiswa dari penaja lain.
Semester akhir, INTEC menjanjikan satu biasiswa untuk seorang pelajar ke Australia yang mendapat markah tertinggi semester itu. Tetapi Rayyan tak layak dapat kerana status pr Australia.
Rayyan ke Australia National University, Canberra dalam bidang Accounting.
Sejak itu dan sepanjang belajar di Australia, apa sahaja permohonan biasiswa dan pinjaman dari Malaysia, semuanya dia cuba - semuanya rejected. Dia juga masih tak layak untuk memohon biasiswa @ pinjaman universiti dari kerajaan Australia sebab masih PR, citizen sahaja yang boleh memohon.
Tahun pertama semester 1 di ANU, Rayyan tinggal di asrama. Tapi tak sangka asrama di sini bercampur lelaki perempuan, termasuk dapur dan bilik air. Di common hall, ada pula bar menjual beer untuk pelajar. Bayarannya juga mahal, $450 seminggu atau $1800 sebulan untuk seorang pelajar, sedangkan bilik kecil sahaja muat satu katil bujang dan meja belajar. Kelebihannya tinggal di kawasan universiti.
Rayyan keluar dari asrama pada cuti sebelum semester kedua bermula. Belum ada bilik kosong di kalangan rakan2 Melayu. Ingat lagi dia mencuba semua iklan2 rumah kosong, tetapi hampir semua landlord tak mahu ambil pelajar lelaki sebagai penyewa mereka.
Jadi dia menumpang dulu di rumah pelajar2 Melayu berdekatan universiti sementara mereka bercuti di Malaysia ketika itu. Rumah warisan pelajar2 lelaki Malaysia sejak dulu. Tuan rumah langsung tak pernah jenguk atau baiki, rumah itu ada banyak bocor dan udara dingin musim sejuk sentiasa terasa.
Rayyan kata rumah itu terlalu sejuk, heater off walau suhu dah bawah beku kerana berjimat. Mujurlah dekat univ, duduklah mereka di library belajar dan siapkan tugasan. Balik untuk tidur di dalam sleeping bag dan untuk makan sahaja.
Akhirnya Rayyan dan rakan baiknya, Osman dari Yunan, China menyewa bilik di sebuah rumah Indonesia yang terletak jauh dari universiti. Osman ada kereta, jadi setiap hari Rayyan pergi awal pagi dan pulang ke rumah waktu senja mengikut jadual Osman.
Rayyan sempat bekerja di kedai roti Arab berdekatan rumahnya pada hari minggu, dengan bayaran $5 sejam. Rayyan kata kerjanya penat, berdiri 8 jam, dan upah sedikit sangat sebab owner kata masih dalam percubaan.
Masuk tahun kedua, Rayyan, Osman dan 2 lagi pelajar Melayu akhirnya dapat menyewa sebuah apartment 2 bilik, 5 minit berjalan kaki dari pusat bandar Canberra. Bayaran $2000 sebulan dikongsi 4 orang. Semua pelajar di rumah itu ada biasiswa kecuali Rayyan.
Osman dapat biasiswa PhD dari kerajaan Australia dalam jurusan Fizik Nuklear. Rayyan kata Osman genius, perkara yang sukar bagi orang lain, nampak mudah saja baginya. Update 2021: Osman sudah tamatkan pengajian tetapi tidak mahu pulang ke China kerana takut dipergunakan oleh kerajaan.
Sebenarnya agak mudah untuk dapat biasiswa PhD di sini, asalkan berhubung terus dengan supervisor yang diminati, dan pastikan supervisor itu ada peruntukan untuk pelajarnya. Malah ada universiti yang menawarkan visa PR untuk pelajar dari luar negara, membuat PhD di sini.
Rayyan terpaksa mencari pendapatan sendiri untuk hidup kerana kami ibubapanya pun dah kesempitan wang, sewa rumah kami ketika itu $2500 sebulan, sedangkan pendapatan tak sampai $4000 sebulan. Selalunya kurang bergantung pada pelanggan yang kami dapat. Kami masih boleh bayarkan yuran universiti melalui pengeluaran KWSP di Malaysia.
Ketika itu ada iklan di akhbar tentang pemberian wang zakat Muslim Australia untuk pelajar, Rayyan cuba memohon, tetapi ditolak kerana wang itu untuk pelajar refugee sahaja. Mereka menggalakkan Rayyan cari kerja part time seperti pelajar2 Australia lain.
Setelah kena scam ejen pekerjaan beberapa kali, akhirnya Rayyan dapat kerja sebagai cleaner setiap hari Jumaat dan Isnin, bermula pukul 7 pagi 2 jam sehari, di mall Canberra. Mulanya Rayyan dapat $18 sejam, tetapi bila dia nak berhenti kerana nak bekerja di kedai kebab, mereka naikkan jadi $24 sejam sebab tak nak kehilangan Rayyan. Rayyan bukan seorang yang curi tulang. Dapatlah bekerja 4 jam seminggu di situ.
Ketika ini juga, Rayyan baru tahu ada restoren2 termasuk kepunyaan warga Malaysia, yang beri gaji setakat $10-$14 sejam, sedangkan atas slip gaji ditulis $18 sejam iaitu gaji minimum Australia.
Sebenarnya ada ramai tauke perniagaan terutama kepunyaan orang Asia yang mengamalkan kaedah seperti ini. Sebab tu jangan gembira sangat kalau dapat pekerjaan di Australia sedangkan visa tak sah, pasti akan mudah dieksploitasi sebab takut ditangkap dan dihantar pulang, atau duit sudah kehabisan dan masih berhutang dengan ejen pekerjaan yang membawa mereka masuk dari Malaysia.
Rayyan juga bekerja sebagai cleaner di kedai kebab sejam sehari, datang kerja pukul 5 pagi. Bayarannya sama juga. Kerjanya berat, cuci dapur, lantai dan mesin daging kebab yang kotor dan berminyak hasil jualan malam sebelumnya.
Rayyan kata sejam tak dapat cuci bersih sepenuhnya, tapi owner takkan bayar lebih dari tu. Umi sedih setiap kali teringat Rayyan berbasikal sebelum subuh, setiap hari dalam cuaca dingin, untuk mencari sesuap nasi. Pukul 8 pagi dah berada di kelas pula.
Rayyan berhenti dari kedai kebab bila dapat kerja delivery untuk Deliveroo dan Uber Eats pula. Akhirnya Rayyan dapat kerja yang agak mudah berbanding sebelumnya. Masa pun flexible, Rayyan boleh pilih masa yang sesuai dengan jadualnya
Rayyan beli basikal bermotor 2nd hand untuk memudahkan pergerakannya. (Sept 2020: Basikal elektrik itu sudah dijual kepada juniornya. Setiap kali Ummi tengok budak2 berbasikal buat delivery, pasti teringatkan Rayyan.)
Rayyan akhirnya berjaya dalam permohonannya untuk menerima elaun pelajar dari kerajaan Australia. Elaun ini untuk pelajar sepenuh masa yang tak pernah dapat apa2 bantuan sebelum ini. Syaratnya mestilah citizen atau selepas 2 tahun menjadi PR Australia.
Tahun ketiga, tahun akhir Rayyan, barulah dia dapat bernafas lega, dan dapat fokus pada pengajiannya. Walaupun sikit, sebab elaun untuk sara hidup je. Yuran pengajian tetap kena bayar sendiri. Sekurang-kurangnya ringan sikit beban yang terpikul. Rayyan berjanji akan menyimpan sebahagian elaun itu untuk membayar yuran pengajian semester akhirnya.
Ummi bangga sebab Rayyan tak pernah abaikan pelajarannya walau letih, sibuk dan suntuk masa yang tersisa. Malah dia mengambil subjek option untuk pelajar postgrad yang memerlukan banyak research dan presentation. Classmates Rayyan yang majoriti dari China, memang elakkan kelas2 banyak research dan menulis ni.
Alhamdulillah, sudah 2 assignment untuk kelas tersebut, Rayyan dapat markah 100%. Kebanyakan pelajar postgrad datang dari negara Asia terutama China, ada kelemahan penguasaan bahasa walaupun idea mereka bagus.
Untuk kelas2 yang banyak gunakan angka dan pengiraan, susah untuk Rayyan score tertinggi dalam exam, sebab dileksia menyebabkan dia selalu tertulis angka yang salah atau terbalik dari apa yang difikirkan. Rayyan kata subjek accounting kena detail dan tepat angkanya.
Kalau assignment menulis, memang dia boleh sebab semua tulisan menggunakan keyboard sahaja.
Rayyan juga aktif persatuan pelajar, pernah dihantar ke conference di Melbourne dan Sydney sebagai wakil pelajar, dan tahun ini dia akan ke Jakarta pula. Pernah sekali dia ke Universiti Petronas di Perak, menghadiri conference pelajar di sana. Sambil menyelam minum air kan Rayyan.
Sept 2018 Temuduga:
Semester akhir, Rayyan dapat panggilan interview dari Malaysia. Antara phone interview (fasa 1) yang Rayyan dapat dari PW, KWSP, KPMG, Axiata, Intel, Air Selangor, dan British American Tobacco. Rayyan dipanggil interview kedua dengan KWSP, Hong Leong Bank dan Price Waterhouse.
Hari ni dia temuduga oleh Hong Leong bank, terus dapat offer kerja. Selepas berfikir halal haram, Rayyan tolak pula dan berharap dapat kwsp. Rayyan tak pergi interview Price Waterhouse sebab ada halangan masa.
Akhirnya Rayyan tak dapat kwsp, classmate Rayyan, one of top student accounting yang dapat. Budak melayu. Hanya mereka berdua calon accountant pada masa itu. Rayyan cuma dapat reserve, sekiranya calon yang berjaya menolak. Rakannya tu juga dapat offer dari Intel, tapi memilih kwsp.
Pada masa yang sama, calon2 untuk jawatan lain di KWSP juga ditemuduga serentak. Dari segi akademik semuanya telah layak, jadi mereka hanya disoal tentang isu semasa, serta pandangan @ pendapat mereka sekiranya berdepan dengan sesuatu krisis dalam pekerjaan. Umi yakin soalan2 ini semuanya menguji kematangan mereka dalam membuat keputusan.
Update 10 Ogos 2019.
Lama tak update. Yang atas tu semua cerita sebelum graduation. Sekarang Rayyan dah graduate Dis 2018, tapi masih belum ada kerja tetap. Rayyan dah pindah duduk Sydney bermula 1 Jun 2019.
Barulah dia merasa betapa susahnya nak dapat kerja walau delivery, sebab saingan dari immigrant terlalu ramai. Di Canberra dia takde masalah ni. Kerja accountant memang tak dapatlah. Budaya kerja Oz pentingkan staf syarikat yang recommend dan bawa kita masuk dalam syarikat tu. Iklan dan interview hanya formaliti sahaja.
Rayyan daftar kursus teacher's aide di Tafe Bankstown, dan akan mula buat praktikal 100 jam di Kogarah High School. Contoh kerja teacher's aide ini ialah membantu pelajar kurang upaya atau lemah, ambil nota atau memahami pengajaran guru di dalam kelas. Rayyan bercadang buat master in teaching bermula awal 2020.
Ya Allah permudahkanlah urusan anakku Rayyan dan berilah dia rezeki yang halal dan diberkati.
Update 1 Oktober 2019
Syukur Rayyan dapat kerja casual di sekolah tempat dia praktikal, Kogarah High School. Dua hari seminggu. Kerja casual ini seperti kerja kontrak di Malaysia. Gaji ikut jam bekerja.
Kadang2 dia dapat panggilan kerja casual di Tempe High School.
Kedua-duanya di dalam bandar Sydney atau inner city school. Dua sekolah yang sangat berbeza dari segi pelajarnya.
Sekolah Kogarah pendapatan purata ibubapa lebih rendah dari sekolah Tempe. 93 % pelajar datang dari keluarga dimana English adalah bahasa kedua. Majoriti pelajar dari bangsa Arab Lebanese. Ada lebih 50 bangsa di sini. Prestasi sekolah di bawah dari prestasi nasional. Tak hairanlah ada ramai pelajar bermasalah di sini samada dari segi bahasa atau tingkahlaku.
Sekolah Tempe pula antara sekolah berprestasi tinggi atau dipanggil selective school. 73% menggunakan English sebagai bahasa kedua tetapi majoritinya pelajar Asia Timur seperti Cina. Hari pertama Rayyan bekerja di situ, guru yang bertugas beritahu, pelajar paling bermasalah tidak mendengar bila guru arahkan hp dimatikan semasa belajar.
Kata Rayyan, itu perkara biasa di Kogarah. Lebih teruk lagi ada, ada yang berbual dan bermain, menjerit, melawan guru, dan keluar masuk sesuka hati semasa guru mengajar. Ada kes guru paling garang ditampar pelajar autistik berbadan besar, sehingga masuk hospital. Pelajar2 di Australia ramai yang berbadan besar tinggi melebihi 6 kaki.
Update 4 Mei 2020
Akibat jangkitan covid-19 sejak Mac lepas, hampir semua sekolah dan univ seluruh dunia ditutup, atau dibuka sebahagian, dan pelajar belajar online dari rumah. Rayyan juga sudah mula kelas Master in Teaching di sebuah universiti di Sydney.
Australia sudah semakin kurang kes, dan pelajar akan mula ke sekolah seminggu sekali. Rayyan sudah mendapat tawaran kerja sementara, bukan casual lagi. Tetapi tetap 2 hari seminggu. Tetapi dia dapat banyak kerja tutor online untuk subjek accounting peringkat universiti.
Biasanya seorang pelajar akan tempah 2-4 jam dan sanggup bayar $40 sejam bantu tutorial tugasan accounting yang agak susah bagi mereka. Ada juga yang sanggup bayar mahal sekiranya Rayyan siapkan terus tugasan tersebut, mujurlah Rayyan tak gelap mata dan tolak tawaran.
Kebanyakan pelanggan Rayyan sudah bekerja dan belajar part time sahaja. Kerja seperti ini bersifat antarabangsa, kita boleh mengajar di Malaysia, dan pelajar berada di mana2 tempat di dunia. Syaratnya kita mahir dalam bidang tersebut dan peka isu semasa yang berkaitan dengan tugasan. Australia pentingkan critical thinking dalam tugasan2 pelajarnya.
Kalau anda mahir quran, iqra, tajwid, semua ni boleh diiklankan untuk mengajar secara online mereka dari luar negara yang tiada ustaz atau masjid berdekatan. Malah apa sahaja bidang akademik sudah boleh tutor online dengan kemajuan teknologi hari ini.
Update Ogos 2020
Rayyan sudah mulakan praktikal kedua, mengajar matematik selama 10 minggu di sebuah sekolah persendirian Katolik di Hurtsville. Sekolah kerajaan kekurangan peruntukan untuk mengambil pelajar praktikal, kerana mereka mesti dibayar. Menurut Rayyan, sekolah ini jauh berbeza dari sekolah kerajaan tempat dia bekerja sebelum ini.
Pelajar2nya anak orang berada, dan ramai yang mengambil kelas tusyen selepas habis kelas. Mereka ada kelas khas untuk pelajar tahun 11 tetapi sudah mahu mengambil peperiksaan HSC dalam subjek Matematik Lanjutan. HSC biasanya diambil oleh pelajar tahun 12.
Update Disember 2020.
Rayyan dapat offer mengajar matematik selama 4 hari seminggu di Kogarah High School bermula Jan 2021. Kerja secara kontrak selama 6 bulan. Master Rayyan akan tamat 6 bulan lagi. Mudah-mudahan dia dapat sambung kontrak mengajar selepas itu.
Alhamdulillah Rayyan dah banyak pengalaman belajar dan mengajar di pelbagai jenis sekolah. Dimulakan dengan tadika English selama setahun di Canada. Tadika Kemas, Islam dan Cina di Malaysia. Semuanya sempat beberapa bulan sahaja dan ada yang diambil serentak.
Sekolah rendah SJKC dan Sekolah Agama Johor serentak sehingga UPSR. Sekolah menengah persendirian agama di Perlis sehingga SPM. Kemudian mengajar selama 3 bulan, bahasa Melayu dan English di sekolah menengah agama persendirian di Thailand.
Update Mei 2021
Rayyan membuat praktikal ketiganya, mengajar selama 10 minggu di sebuah sekolah kerajaan di Georges River College, Oatley Senior Campus. Rayyan memilih untuk mengajar subjek Accounting, tapi sekolah ini cuma ada option subjek Bisnes Studies. Praktikalnya tamat pada hari kedua Aidilfitri tahun ini. Tinggal di negara bukan Islam, terpaksalah pergi kerja pada hari pertama dan kedua raya.
Syukur Rayyan sudah menamatkan pengajian Master in Education dan sudah boleh mengajar sebagai guru selepas ini.
Update 9 Ogos 2021
Rayyan dapat mengajar sebagai guru ganti di Batemans Bay High school, 5 jam perjalanan dari Sydney. Sekolah luar bandar, murid pun sikit. Rayyan akan mengajar berbagai subjek seperti Geografi, Sejarah dan English. Kiranya mana2 subjek yang tiada gurulah. Belum dapat jadi guru matematik atau accounting impiannya.
Sehari sebelum pindah, Rayyan buat swab test dan alhamdulillah negatif. Oleh kerana kes covid varian Delta di Sydney sudah teruk dan sudah berjangkit ke kawasan pedalaman, Rayyan pun terpaksa mengajar online selepas seminggu pindah ke sana.
Rayyan register lagi sebagai student baru semester ini dan ambil semua subjek matematik untuk menambahkan ilmunya. Rayyan beritahu umi, dia bukan nak grad, cuma nak ambil kelas dan dapatkan slip result untuk satu semester sahaja.
Mujurlah semua kelasnya online waktu malam, kerana Rayyan masih bekerja sebagai guru pada waktu siang. Cuma orang kuat semangat dan berdisplin sahaja yang boleh buat begini, umi pun belum tentu boleh.
Walaupun tak dapat sijil apa2, subjek2 itu boleh dimasukkan dalam cv sebagai bonus point semasa mencari kerja sebagai guru matematik kelak.
Update 6 April 2022.
Rayyan sudah mengajar di Sydney semula, di Auburn Girl's High School. Sebenarnya dia dapat banyak tawaran mengajar tetapi semua di sekolah persendirian. Sebagai ibu, umi cuma mahukan security, dan minta Rayyan terima satu-satunya tawaran dari sekolah kerajaan itu.
Di Australia, kita memohon dan dapat tawaran mengajar terus dari sekolah. Berbeza dari Malaysia dimana guru diarahkan mengajar di sekolah yang ditetapkan. Kelemahan di Australia, sekolah ulu dan pedalaman mengalami kekurangan guru yang serius kerana semua memilih tinggal di bandar. Kerajaan terpaksa menawarkan biasiswa khas untuk pelajar universiti yang sanggup bekerja di pedalaman selama beberapa tahun selepas tamat pengajian.
Hari ini Rayyan convo pengajian Master. Alhamdulillah sudah terbayar semua hasil penat lelahnya bekerja waktu siang, dan belajar waktu malam dan hujung minggu selama ini.