Memaparkan catatan dengan label Rayyan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Rayyan. Papar semua catatan

Isnin, 9 April 2018

Rayyan... Self-Sponsored di Australia

Kami berhijrah ke Australia Jun 2015. Anak2 yang sedang belajar di sekolah menengah dan INTEC masih tinggal di Malaysia. Tahun 2016 barulah semuanya memulakan persekolahan di Sydney, dan Rayyan di Canberra.

Semasa  Rayyan memohon belajar ke Australia melalui INTEC tahun 2014-2015 dulu, JPA membekukan biasiswa dan pinjaman ke sana, jadi hampir semua rakan batch Rayyan  ditaja keluarga, kecuali sedikit yang dapat biasiswa dari penaja lain. 

Semester akhir, INTEC menjanjikan  satu biasiswa  untuk  seorang pelajar ke Australia yang mendapat markah tertinggi  semester itu. Tetapi Rayyan tak layak dapat kerana status pr Australia.  

Rayyan ke Australia National University, Canberra dalam bidang Accounting. 

Sejak itu dan sepanjang belajar di Australia, apa sahaja permohonan biasiswa dan pinjaman dari Malaysia, semuanya dia cuba - semuanya rejected.  Dia juga masih tak layak untuk memohon biasiswa @ pinjaman universiti  dari kerajaan Australia  sebab masih PR, citizen sahaja yang boleh memohon.

Tahun pertama semester 1 di ANU, Rayyan tinggal di asrama.   Tapi tak sangka asrama di sini bercampur lelaki perempuan, termasuk dapur dan bilik air.  Di common hall, ada pula bar menjual beer untuk pelajar.  Bayarannya juga mahal, A$450 seminggu atau A$1800 sebulan untuk seorang pelajar, sedangkan bilik kecil sahaja muat satu katil bujang dan meja belajar.  Kelebihannya tinggal di kawasan universiti.   

Rayyan keluar dari asrama pada cuti sebelum semester kedua bermula.  Belum ada bilik kosong di kalangan rakan2 Melayu. Ingat lagi dia mencuba semua iklan2 rumah kosong, tetapi hampir semua landlord tak mahu ambil pelajar lelaki sebagai penyewa mereka.  


Jadi dia menumpang dulu di rumah pelajar2 Melayu berdekatan universiti sementara mereka bercuti di Malaysia ketika itu.  Rumah warisan pelajar2 lelaki Malaysia sejak dulu.  Tuan rumah langsung tak pernah jenguk atau baiki, rumah itu ada banyak bocor dan udara dingin musim sejuk sentiasa terasa. 

Rayyan kata rumah itu terlalu sejuk, heater off walau suhu dah bawah beku kerana berjimat.  Mujurlah dekat univ, duduklah mereka di library belajar dan siapkan tugasan. Balik untuk tidur di dalam sleeping bag dan untuk makan sahaja. 

Akhirnya Rayyan dan rakan baiknya, Osman dari Yunan, China menyewa bilik di sebuah rumah Indonesia yang terletak jauh dari universiti.  Osman ada kereta, jadi setiap hari Rayyan pergi awal pagi dan pulang ke rumah waktu senja mengikut jadual Osman.  

Rayyan sempat bekerja di kedai roti Arab berdekatan rumahnya pada hari minggu, dengan bayaran $5 sejam.  Rayyan kata kerjanya penat, berdiri 8 jam, dan upah sedikit sangat sebab owner kata masih dalam percubaan.  

Masuk tahun kedua, Rayyan, Osman dan 2 lagi pelajar Melayu akhirnya dapat menyewa sebuah apartment 2 bilik, 5 minit berjalan kaki dari pusat bandar Canberra.  Bayaran  $2000 sebulan dikongsi 4 orang.  Semua pelajar di rumah itu ada biasiswa kecuali Rayyan.

Osman dapat biasiswa PhD dari kerajaan Australia dalam jurusan Fizik Nuklear.  Rayyan kata Osman genius, perkara yang sukar bagi orang lain, nampak mudah saja baginya.  Update 2021: Osman sudah tamatkan pengajian tetapi tidak mahu pulang ke China kerana takut dipergunakan oleh kerajaan. 

Sebenarnya agak mudah untuk dapat biasiswa PhD di sini, asalkan berhubung terus dengan supervisor yang diminati, dan pastikan supervisor itu ada peruntukan untuk pelajarnya. Malah ada universiti yang menawarkan visa PR untuk pelajar  dari luar negara, membuat PhD di sini. 

Rayyan terpaksa mencari pendapatan sendiri untuk hidup kerana kami ibubapanya pun dah kesempitan wang, sewa rumah kami ketika itu $2500 sebulan, sedangkan pendapatan tak sampai $4000 sebulan.  Selalunya kurang bergantung pada pelanggan yang kami dapat.  Kami masih boleh  bayarkan yuran universiti melalui pengeluaran KWSP di Malaysia.

Ketika itu ada iklan di akhbar tentang pemberian wang zakat Muslim Australia untuk pelajar, Rayyan cuba memohon, tetapi ditolak kerana wang itu untuk pelajar refugee sahaja.  Mereka menggalakkan Rayyan cari kerja part time seperti pelajar2 Australia lain.


Setelah kena scam ejen pekerjaan beberapa kali, akhirnya Rayyan dapat kerja sebagai cleaner setiap hari Jumaat dan Isnin, bermula pukul 7 pagi 2 jam sehari, di mall Canberra.   Mulanya Rayyan dapat $18 sejam, tetapi bila dia nak berhenti kerana nak bekerja di kedai kebab, mereka naikkan jadi $24 sejam sebab tak nak kehilangan Rayyan.  Rayyan bukan seorang yang curi tulang.  Dapatlah bekerja 4 jam seminggu di situ. 


Ketika ini juga, Rayyan baru tahu ada restoren2 termasuk kepunyaan warga Malaysia, yang beri gaji setakat $10-$14 sejam, sedangkan atas slip gaji ditulis $18 sejam iaitu gaji minimum Australia. 

Sebenarnya ada ramai tauke perniagaan terutama kepunyaan orang Asia yang mengamalkan kaedah seperti ini. Sebab tu jangan gembira sangat kalau dapat pekerjaan di Australia sedangkan visa tak sah, pasti akan mudah dieksploitasi sebab takut ditangkap dan dihantar pulang, atau duit sudah kehabisan dan masih berhutang dengan ejen pekerjaan yang membawa mereka masuk dari Malaysia.

Rayyan juga bekerja sebagai cleaner di kedai kebab sejam sehari, datang kerja pukul 5 pagi.  Bayarannya sama juga.  Kerjanya berat, cuci dapur, lantai dan mesin daging kebab yang kotor dan berminyak hasil jualan malam sebelumnya.  


Rayyan kata sejam tak dapat cuci bersih sepenuhnya, tapi owner takkan bayar lebih dari tu.  Umi sedih setiap kali teringat Rayyan berbasikal sebelum subuh, setiap hari dalam cuaca dingin, untuk mencari sesuap nasi.  Pukul 8 pagi dah berada di kelas pula.

Rayyan  berhenti dari kedai kebab bila dapat kerja delivery untuk Deliveroo dan Uber Eats pula.  Akhirnya Rayyan dapat kerja yang agak mudah berbanding sebelumnya.  Masa pun flexible, Rayyan boleh pilih masa yang sesuai dengan jadualnya


Rayyan beli basikal bermotor 2nd hand untuk memudahkan pergerakannya.  (Sept 2020:  Basikal elektrik itu sudah dijual kepada juniornya.  Setiap kali Ummi tengok budak2 berbasikal buat delivery, pasti teringatkan Rayyan.)

Rayyan akhirnya berjaya dalam permohonannya untuk menerima elaun pelajar dari kerajaan Australia.   Elaun ini untuk pelajar sepenuh masa yang tak pernah dapat apa2 bantuan sebelum ini.  Syaratnya mestilah citizen atau  selepas 2 tahun menjadi PR Australia.  


Tahun ketiga, tahun akhir Rayyan, barulah dia dapat bernafas lega, dan dapat fokus pada pengajiannya.  Walaupun sikit, sebab elaun untuk sara hidup je. Yuran pengajian tetap kena bayar sendiri.   Sekurang-kurangnya ringan sikit beban yang terpikul.  Rayyan berjanji akan menyimpan sebahagian elaun itu untuk membayar yuran pengajian semester akhirnya.

Ummi bangga sebab Rayyan tak pernah abaikan pelajarannya walau letih, sibuk dan suntuk masa yang tersisa.  Malah dia mengambil subjek option untuk pelajar postgrad yang memerlukan banyak research dan presentation. Classmates Rayyan yang majoriti dari China,  memang elakkan kelas2 banyak research dan menulis ni. 


Alhamdulillah, sudah 2 assignment untuk kelas tersebut, Rayyan dapat markah 100%. Kebanyakan pelajar postgrad datang dari negara Asia terutama China, ada kelemahan penguasaan bahasa walaupun idea mereka bagus.

Untuk kelas2 yang banyak gunakan angka dan pengiraan, susah untuk Rayyan score tertinggi dalam exam, sebab dileksia menyebabkan dia selalu tertulis angka yang salah atau terbalik dari apa yang difikirkan.  Rayyan kata subjek accounting kena detail dan tepat angkanya. 


Kalau assignment menulis, memang dia boleh sebab semua tulisan menggunakan keyboard sahaja.

Rayyan juga aktif persatuan pelajar, pernah dihantar ke conference di Melbourne dan Sydney sebagai wakil pelajar, dan tahun ini dia akan ke Jakarta pula. Pernah sekali dia ke Universiti Petronas di Perak, menghadiri conference pelajar di sana. Sambil menyelam minum air kan Rayyan.


Sept 2018 Temuduga:
Semester akhir, Rayyan dapat panggilan interview dari Malaysia.  Antara phone interview (fasa 1) yang Rayyan dapat dari PW, KWSP,  KPMG, Axiata, Intel,  Air Selangor, dan British American Tobacco. Rayyan  dipanggil interview kedua dengan KWSP, Hong Leong Bank dan Price Waterhouse. 

Hari ni dia temuduga oleh Hong Leong bank, terus dapat offer kerja.  Selepas berfikir halal haram, Rayyan tolak pula dan berharap dapat kwsp.    Rayyan tak pergi interview Price Waterhouse sebab ada halangan masa. 

Akhirnya Rayyan tak dapat kwsp, classmate Rayyan, one of top student accounting yang dapat. Budak melayu. Hanya mereka berdua calon accountant pada masa itu. Rayyan cuma dapat reserve, sekiranya calon yang berjaya  menolak.  Rakannya tu juga dapat offer dari Intel, tapi memilih kwsp.  

Pada masa yang sama, calon2 untuk jawatan lain di KWSP juga ditemuduga serentak.  Dari segi akademik semuanya telah layak, jadi mereka hanya disoal tentang isu semasa,  serta pandangan @ pendapat mereka sekiranya berdepan dengan sesuatu krisis dalam pekerjaan. Umi yakin soalan2 ini semuanya menguji kematangan mereka dalam membuat keputusan.


Update 10 Ogos 2019.  
Lama tak update. Yang atas tu semua cerita sebelum graduation. Sekarang Rayyan dah graduate  Dis 2018, tapi masih belum ada kerja tetap. Rayyan dah pindah duduk  Sydney bermula 1 Jun 2019.

Barulah dia merasa betapa susahnya nak dapat kerja walau delivery, sebab saingan dari immigrant  terlalu ramai. Di Canberra dia takde masalah ni. Kerja accountant memang tak dapatlah. Budaya kerja Oz pentingkan staf syarikat yang recommend  dan bawa kita masuk dalam syarikat tu. Iklan dan interview hanya formaliti sahaja.

Rayyan daftar kursus teacher's aide di Tafe Bankstown, dan akan mula buat praktikal 100 jam di Kogarah High School. Contoh kerja teacher's  aide ini ialah membantu pelajar kurang upaya atau lemah, ambil nota atau memahami pengajaran guru di dalam kelas.  Rayyan bercadang buat master in teaching bermula awal 2020. 

Ya Allah permudahkanlah urusan anakku Rayyan dan berilah dia rezeki yang halal dan diberkati.


Update 1 Oktober 2019
Syukur Rayyan dapat kerja casual di sekolah tempat dia praktikal, Kogarah High School. Dua hari seminggu. Kerja casual ini seperti kerja kontrak di Malaysia.  Gaji ikut jam bekerja. 

Kadang2 dia dapat panggilan kerja casual di Tempe High School. 

Kedua-duanya di dalam bandar Sydney atau inner city school.  Dua sekolah yang sangat berbeza dari segi pelajarnya.

Sekolah Kogarah  pendapatan purata ibubapa lebih rendah dari sekolah Tempe.    93 % pelajar datang dari keluarga dimana English adalah bahasa kedua.  Majoriti pelajar dari bangsa Arab Lebanese.  Ada lebih 50 bangsa di sini.   Prestasi sekolah di bawah dari prestasi nasional.   Tak hairanlah ada ramai pelajar bermasalah di sini samada dari segi bahasa atau tingkahlaku.  

Sekolah Tempe pula antara sekolah berprestasi tinggi atau dipanggil selective school.  73% menggunakan English sebagai bahasa kedua tetapi majoritinya pelajar Asia Timur seperti Cina.  Hari pertama Rayyan bekerja di situ, guru yang bertugas beritahu, pelajar paling bermasalah  tidak mendengar bila guru arahkan hp dimatikan semasa belajar.  

Kata Rayyan, itu perkara biasa di Kogarah.  Lebih teruk lagi ada, ada yang berbual dan  bermain, menjerit, melawan guru,  dan keluar masuk sesuka hati semasa guru mengajar.  Ada kes guru paling garang ditampar pelajar autistik berbadan besar, sehingga masuk hospital. Pelajar2 di Australia ramai yang berbadan besar tinggi melebihi 6 kaki.


Update 4 Mei 2020

Akibat jangkitan covid-19 sejak Mac lepas, hampir semua sekolah dan univ seluruh dunia ditutup,  atau dibuka sebahagian, dan pelajar belajar online dari rumah. Rayyan juga sudah mula kelas Master in Teaching di sebuah universiti di Sydney.

Australia sudah semakin kurang kes, dan pelajar akan mula ke sekolah seminggu sekali. Rayyan sudah mendapat tawaran kerja sementara, bukan casual lagi.  Tetapi tetap 2 hari seminggu.  Tetapi dia dapat banyak kerja tutor online untuk subjek accounting peringkat universiti.

Biasanya seorang pelajar akan tempah 2-4 jam dan sanggup bayar $40 sejam bantu tutorial  tugasan accounting yang agak susah bagi mereka. Ada juga yang sanggup bayar mahal sekiranya Rayyan siapkan terus tugasan tersebut, mujurlah Rayyan tak gelap mata dan tolak tawaran. 

Kebanyakan pelanggan Rayyan sudah bekerja dan belajar part time sahaja. Kerja seperti ini bersifat antarabangsa, kita boleh mengajar di Malaysia, dan pelajar berada di mana2 tempat di dunia. Syaratnya kita mahir dalam bidang tersebut dan peka  isu semasa yang berkaitan dengan tugasan. Australia pentingkan critical thinking dalam tugasan2 pelajarnya.

Kalau anda mahir quran, iqra, tajwid, semua ni boleh diiklankan untuk mengajar secara online mereka dari luar negara yang tiada ustaz atau masjid berdekatan. Malah apa sahaja bidang akademik sudah boleh tutor online dengan kemajuan teknologi hari ini.


Update Ogos 2020
Rayyan sudah mulakan praktikal kedua, mengajar matematik selama 10 minggu di sebuah sekolah persendirian Katolik di Hurtsville. Sekolah kerajaan kekurangan peruntukan untuk mengambil pelajar praktikal, kerana mereka mesti dibayar. Menurut Rayyan, sekolah ini jauh berbeza dari sekolah kerajaan tempat dia bekerja sebelum ini.  

Pelajar2nya anak orang berada, dan ramai yang mengambil kelas tusyen selepas habis kelas.  Mereka ada kelas khas untuk pelajar tahun 11 tetapi sudah mahu mengambil peperiksaan HSC dalam subjek Matematik Lanjutan. HSC biasanya diambil oleh pelajar tahun 12.


Update Disember 2020. 
Rayyan dapat offer mengajar matematik selama 4 hari seminggu di Kogarah High School bermula Jan 2021. Kerja secara kontrak selama 6 bulan.  Master Rayyan akan tamat 6 bulan lagi. Mudah-mudahan dia dapat sambung kontrak mengajar selepas itu.

Alhamdulillah Rayyan dah banyak pengalaman belajar dan mengajar di pelbagai jenis sekolah.  Dimulakan dengan tadika English selama setahun di Canada.  Tadika Kemas, Islam dan Cina di Malaysia. Semuanya sempat beberapa bulan sahaja dan ada yang diambil serentak.

Sekolah rendah SJKC dan Sekolah Agama Johor serentak sehingga UPSR.  Sekolah  menengah persendirian agama di Perlis sehingga SPM. Kemudian mengajar selama 3 bulan,  bahasa Melayu dan English di sekolah menengah agama persendirian di Thailand.


Update Mei 2021
Rayyan membuat praktikal ketiganya, mengajar selama 10 minggu di sebuah sekolah kerajaan di Georges River College, Oatley Senior Campus. Rayyan memilih untuk mengajar subjek Accounting, tapi sekolah ini cuma ada option subjek Bisnes Studies.  Praktikalnya tamat pada hari kedua Aidilfitri tahun ini. Tinggal di negara bukan Islam, terpaksalah pergi kerja pada hari pertama dan kedua raya.

Syukur Rayyan sudah menamatkan pengajian Master in Education dan sudah boleh mengajar sebagai guru selepas ini.


Update 9 Ogos 2021
Rayyan dapat mengajar sebagai guru ganti di Batemans Bay High school, 5 jam perjalanan dari Sydney.  Sekolah luar bandar, murid pun sikit. Rayyan akan mengajar berbagai subjek seperti Geografi, Sejarah dan English. Kiranya mana2 subjek yang tiada gurulah. Belum dapat jadi guru matematik atau accounting impiannya.

Sehari sebelum pindah, Rayyan buat swab test dan alhamdulillah negatif.  Oleh kerana kes covid varian Delta di Sydney sudah teruk dan sudah berjangkit ke kawasan pedalaman, Rayyan pun terpaksa mengajar online selepas seminggu pindah ke sana.

Rayyan register  lagi sebagai student baru semester ini dan ambil semua subjek  matematik untuk menambahkan ilmunya.  Rayyan beritahu umi, dia bukan nak grad, cuma nak ambil kelas dan dapatkan  slip result untuk satu semester sahaja. 

Mujurlah semua kelasnya online waktu malam, kerana Rayyan masih bekerja sebagai guru pada waktu siang. Cuma orang kuat semangat dan berdisplin sahaja yang boleh buat begini, umi pun belum tentu boleh. 

Walaupun tak dapat sijil apa2, subjek2 itu boleh dimasukkan dalam cv sebagai bonus point semasa mencari kerja sebagai guru matematik kelak.   


Update 6 April 2022. 

Rayyan sudah mengajar di Sydney semula, di Auburn Girl's High School.  Sebenarnya dia dapat banyak tawaran mengajar tetapi semua di sekolah persendirian. Sebagai ibu, umi cuma mahukan security, dan minta Rayyan terima satu-satunya tawaran dari sekolah kerajaan itu. 

Di Australia, kita memohon dan dapat tawaran mengajar terus dari sekolah. Berbeza dari Malaysia dimana guru diarahkan mengajar di sekolah yang ditetapkan. Kelemahan di Australia, sekolah ulu dan  pedalaman mengalami kekurangan guru yang serius kerana semua memilih tinggal di bandar.  Kerajaan terpaksa menawarkan biasiswa khas untuk pelajar universiti yang sanggup bekerja di pedalaman selama beberapa tahun selepas tamat pengajian.

Hari ini Rayyan convo pengajian Master.  Alhamdulillah sudah terbayar semua hasil penat lelahnya bekerja waktu siang, dan belajar waktu malam dan hujung minggu selama ini.







Khamis, 12 Januari 2012

Rayyan Minat Berniaga

Rayyan ni memang minat berniaga, bermula dari ikut2 ummi jual barang second-hand semasa di Canada.  Balik Malaysia, dia buat lukisan banyak2 atas kertas buku tulis (hahaha  conteng2 pakai pensil je) pastu susun atas meja tulis depan rumah.  Duduk dari pagi sampai petang, satu pun tak terjual.  Ummi biarkan je, sebab nak Rayyan tengok sendiri bisness macam tu memang tak boleh.

Masuk darjah 1, dia buat kotak2 kecik dan jual kat kawan2 10 sen satu.  Ummi beli 2 set guli untuk akuarium, si Rayyan jual 10 sen satu pada kawan2.  Sepanjang sekolah rendah, banyak benda la yang dia jual, kebanyakannya makanan yang budak2 suka dan harga murah.  

Dia juga buat service belikan makanan di kedai sebelah sekolah, dengan upah 10 sen sekali pergi.  Ummi pun selalu bagi dia upah buat kerja2 macam bersihkan kipas, peti ais dan basuh kasut Aisyah.  Patutla Aisyah manja sangat. 

Di rumah kami ada banyak buku dan novel kanak2. Rayyan sewakan pada budak2 di kawasan perumahan kami.  Budak2 yang dia  selalu jumpa di taman permainan.  Sekali baca 10 tau 20 sen agaknya.  Hampir semua budak akan pulangkan buku tu selepas baca. Majoriti budak2 kawasan tu jujur dan baik2 belaka.  Tapi Rayyan bertemu juga buku dan ruas, seorang budak perempuan berbadan besar yang terus hilangkan diri lepas ambil buku Rayyan. 

Sekolah menengah di asrama, Rayyan mula sewakan buku2 cerita pada kawan2.  Rayyan ada banyak buku yang ummi beli dan hadiah dari pak Wan Zu di PTS.  Di rumah kami ada satu rak komik dan novel kanak2.  Tahun ni dia dah mula jual pen drive yang diambil dari supplier di Kangar.  Katanya dah untung 500 ringgit.

Semasa di rumah lepas cuti PMR ni, dia mula berniaga siling perak pula.  Tapi dia mula lambat, dah masuk Januari baru nak mula. Tapi sehari sebelum balik sekolah pun sempat lagi dia berniaga, jumlah untung sepanjang Januari ni hampir 400 ringgit

update 15 Jan 2012: 
Rayyan dah balik ke MATRI.  Segala aktiviti bisness pun kena berhenti sebab sekolah dia haramkan semua hp dan personal laptop dan seumpamanya.   Dia sempat iklan service cat pagar, dapat seorang pelanggan. Upah cat pagar, scan album dan hadiah PMR, akaun bank Rayyan dah bertambah seribu lebih dalam masa cuti sekolah Dis-Jan.  Simpan, jangan joli ye Rayyan. 

Rupa-rupanya itulah tujuan utama dia cari duit - nak beli ipod dan hp baru.  Hp Nokia 70 ringgit yang ummi belikan, Rayyan dah jual pada kawan dengan harga 60 ringgit. Ummi sendiri pun tak tau apa ke benda Ipod, dah tengok dia pakai masa cuti bulan Jun itu hari, barulah tau.  

Selain dari dengar music, yang paling penting boleh main game dan guna kamera video.  Jadi alat penenang adik2 yang kebosanan masa travel 12 jam JB-Perlis.   Berguna juga masa kami pergi  bercuti ke Penang tu. Ummi tengok video masa turun dari keretapi Penang Hill.  Resolutionnnya tinggi dan gambar jadi cantik.

Yang hp baru, selain dari boleh terima mms, yang penting rupanya sebab nak access internet dan post di facebook.  Ish ish ish.

Rayyan .... ummi agak dalam beberapa tahun lepas ni dia akan cari duit lagi dan tukar2 gadget lagi.  Tengokla.



update 2020:
Di Sydney pula.  Rayyan dah berusia 24 tahun, memang pandai cari duit, selain kerja casual di sekolah sambil ambik master in teaching, dia juga buat tutor accounting pada student2 universiti dan Tafe. Dia belum lagi kerja full time, tapi dah ada banyak simpanan dan investment.  

Ummi percaya Rayyan bijak, cuma jangan gelap mata dan tertipu mlm scam sudahlah.  Umi sentiasa ingatkan Rayyan jangan masuk benda2 yang meragukan dari segi hukum macam forex. 

Teringat pula masa umi berusia 24 dulu, masih tak tau apa2, baru nak cari kerja dan zero ringgit dalam akaun.



Selasa, 27 Disember 2011

PMR Rayyan dan Kaki HF

Sejak Rayyan balik bercuti ni, dia selalu bawa Hf naik basikal.  Selalunya ok, seronok aje Hf membonceng basikal Rayyan.  Tapi 5 hari lepas, kaki Hf termasuk dalam rim basikal semasa basikal bergerak.  Ummi tengok darah keluar banyak sangat dan ada luka besar, terus rasa nak pengsan.  Ummi dukung masuk rumah dan tekap luka tu dengan sapu tangan.  Syukurlah ayah ada, sebab dia tak mudah panik. Ayah dan Rayyan bawa Hf ke emergency room kat klinik UTM, ummi ada kelas dan tak dapat ikut.  Ayah kata, sikit lagi nak kena urat keting yang sekiranya putus ...

Sejak masuk rumah baru ni, kaki Hf masih belum pulih jadi duduk ajelah kat atas sofa.  Ke mana-mana ummi tolak dalam stroller, fuhh nasib baik badan dia kecik macam umur 3 tahun.

Pada 22 Disember, Rayyan dapat keputusan PMR, 7A 1B 1D.  B untuk Agama dan D untuk bahasa Arab.  Rayyan dah cuba yang terbaik, mudah-mudahan dia dapat terus cemerlang sehingga bila-bila. .

Ahad, 4 September 2011

Rayyan dan Aisyah balik MATRI, Ayah ke New Delhi

Tengahari semalam ummi bawak budak2 beli barang2 keperluan asrama dan makan kat KFC.  Ummi beli set burger untuk Rayyan, dan set baru macam snack plate (2 ayam, kentang putar, sayur, roti), tapi 50 sen untuk didermakan.   Kami share makan, seketul ayam Aisyah dan Sarah.  Seketul lagi ummi, Basel dan Hf.  Tambah kentang putar untuk Hf.

Pasangan apek dan nyonya kat meja sebelah asik tengok aje keluarga kami makan, dia kesian ke tengok kami makan berkongsi?  Memang habis licin, tak bersisa.  Ummi bayar RM19 aje untuk semua, kurang separuh dari selalu.  Sebenarnya anak2 umi dah kenyang sebab dah makan di rumah tadi.  Kami ke KFC temankan Rayyan sebab dia seorang yang belum makan.

Hari ni ayah ke New Delhi selama seminggu.  Baru semalam ayah bagitau, ummi terus sedih dan tak lalu nak makan.  Rasa tersekat aje kerongkong.  Ya Allah dugaan terbesar minggu depan, akan jadi the worst week of my life.  Ummi ada banyak assignment n report due!!!  Student baru masuk dan semester baru mula .... teringat kisah minggu ummi yg huru-hara masa ayah ke Australia dulu.

Ummi dah  bagitau ayah, takkan hantar anak ke sekolah agama seminggu, sebab ummi akan sibuk di ofis.  Akan hantar ke sekolah Cina aje.

Semalam ayah puasa, lewat petang tu ummi sibuk gosokkan pakaian Aisyah sebab nak keluar terus lepas maghrib.  Jadi ummi terlupa nak sediakan makan berbuka untuk ayah.  Nasib baik atas meja dah ada buah kurma, air mineral dan lagsania yg ummi buat petang tu.  Tp ayah makan je sorang2 tak komplen, dia tau ummi tengah stress.  Ayah makan lagsania direct dari tupperware sebab ummi tak sediakan pinggan!

Lepas mahgrib, Aisyah dan Rayyan angkut semua beg, dan ayah bawak kami makan di Mama Chops n Papa Grill yang 5 minit aje dari rumah.  Ayah dan Rayyan makan lamb chop, ummi makan Black Pepper Chicken RM14, Aisyah dan Basel minta Fish n Chip.  Tapi Basel seperti biasa tertidur di meja makan.  Dia sempat minum air dan sentuh sikit aje makanan.  Sarah dan Hf minta air je.  

Servis di Mama Chops n Papa Grill sangat cepat, jadi kami dah habis makan sebelum 8.30 malam, sempat balik rumah dan solat isyak.  Pastu hantar Rayyan dan Aisyah di Seri Putri, Jalan Skudai.  Kami sampai sana 9.10 pm, bas sampai 11.10 pm. Macam nilah bas di tempat kami, tak pernah tepat masa.  Anak2 kecik masing2 dah merengek2 nak buang air.  Toilet kat stesen Shell orang berbaris panjang, terpaksalah membuang dalam semak.

Kami terserempak keluarga kak Khairiyah yg hantar Mamat, dan keluarga Hilal Ashraf yg hantar adik lelakinya.

Balik rumah dekat pukul 12 malam, si Hf minta susu. Tak sempat minum, dah lelap.

Rabu, 16 Februari 2011

Rayyan Main hoki di MATRI


Gambar ni ummi ambik dari facebook kawan Rayyan, fotographer sekolah agaknya.  Bangga tengok anak2 bersukan, sebab ummi masak kecik pun kuat sukan.


Update 18/4/2015
Akibat dari main hoki, Rayyan telah  menderita sakit belakang.  Katanya seperti dicucuk-cucuk.  2 tahun lepas, ayah bawa Rayyan ke hospital pakar Puteri, tetapi diberitahu bukan masalah tulang atau saraf, sebaliknya masalah otot.  Dan rawatannya ialah fisioterapi.  Rawatan tu kena datang berulang2 pada tarikh ditetapkan.
 
Kerana Rayyan masih bersekolah dan kena balik ke Matri esoknya, dia cuma diberi  ubat tahan sakit.  Rayyan bertahan sehinggalah baru2 ini dia mengadu tak tahan sakit.

Minggu lepas umi pergi ke asrama seksyen 6 Intec, Shah Alam untuk berjumpa Rayyan.   Kami pergi ke hospital Pakar KPJ di seksyen 20.  Kami cuba menggunakan kad insuran Prudential yang dibayar sejak tahun 2010.   Tetapi menurut info yang diberi di situ, insurance kami tak cover rawatan pesakit luar (kena bermalam, dan satu bilik RM450 sedangkan insurance cover sehingga RM100 sahaja).  Dan yang paling teruk sekali, fisioterapi tidak dicover langsung  samada sebagai pesakit luar atau bermalam.

Macam sia-sia aje bayar insurance mahal2 tiap-tiap bulan, bila tiba masanya diperlukan, langsung tak boleh pakai.  Ejen insurance, tiap2 tahun melancung ke oversea guna bayaran insurance yang kita bayar tiap2 bulan tu.  Macam perniagaan MLM je.   Ayah habis lebih seribu ringgit sebulan bayar insurance Prudential untuk setiap ahli dalam keluarga kami.  Bila jadi macam ni, umi rasa sedih sangat, sudahlah ayah tiada di Malaysia.

Semalam, Rayyan bersama pak ngah pergi ke hospital pakar di Subang Jaya untuk dapatkan rawatan pakar.  Untuk perjumpaan pertama sahaja, bilnya sudah RM300 ringgit.  Tetapi kali ini doktor pakar beritahu tulang belakang Rayyan ada deformiti sejak lahir, iaitu bengkok sikit.  Mungkin sebab main hoki, barulah terasa sakitnya.  Sama juga, rawatan yang dicadangkan ialah fisioterapi.  Ya Allah ya Tuhanku, sembuhkanlah anakku Rayyan.  Ketika dengar berita ni semasa call Rayyan, umi dah tak kisah lagi, biarlah kami kena bayar berapa pun, asalkan Rayyan sembuh akhirnya.  Kesiannya Rayyan,  sabarlah anakku.

Jumaat, 14 Januari 2011

Update 30 Ogos 2012: Rayyan 16 Tahun

Ogos 2012: Gambar terbaru Rayyan bersama ayah dan sepupu2 lelaki semasa berusia 16 tahun. Rayyan baju merah kolar putih.  Helmi yang sebaya umurnya disebelah Rayyan, dah sama tinggi dengan ayah.



September 2010:  Gambar hariraya di Segamat.Rayyan yang berbaju ungu terang, lahir bulan November.  Masa ni umur Rayyan  14 tahun dan tingginya  hampir sama dengan ummi. Helmi berbaju hijau paling kanan,  sebaya Rayyan, lahir bulan September. Tapi Helmi memang sentiasa berbadan lebih besar dan tinggi dari Rayyan sejak baby lagi.




September 2008:  Rayyan 12 tahun berbaju pink cair berdiri paling kiri, Helmi dan ayah berbaju hitam.


Isnin, 16 November 2009

Rayyan Kena Demam Campak

Semalam masa tengah sibuk2 nak naik bot ke Lumut, Rayyan talipon dari Perlis.  Rupa-rupanya dia kena demam campak dah 4 hari.  Kesian Rayyan, demam sorang2 kat sana, ummi tak boleh nak jaga.  Tak dapat ikut ke Pulau Pangkor lagi.  Harap2 Rayyan cepat sembuh.

update:
Rayyan sebenarnya dah bercuti 2 minggu sebelum cuti sekolah sebenar, tp tak boleh balik kampung lagi, sebab kena buat kerja2 amal dulu seperti bersihkan kawasan sekolah dan bercucuk tanam.  Memang kawasan sekolahnya penuh dengan pokok buah-buahan.  Diaorang baru  buat ladang jagung, setiap pelajar dapat sebatang pokok jagung.

Masa balik, ayah takde, ummi yang ambik pukul 4 pagi kat bus stop Tmn Sri Skudai.  Rayyan dah semakin kurus dan tinggi sekarang.  Dulu tinggi sikit aje dari Aisyah, sekarang kepala Aisyah kat telinga dia.

update Dec 2010:

Rayyan dah sama tinggi dengan ummi, suara pun dah lagi kasar dan kuat dari ayah.   Balik tahun depan, agaknya tmabah lagi 2 inci.  Masa mula-mula masuk MATRI,  dia gemuk dan rendah.  Kena belikan baju saiz budak tingkatan 5, tapi kaki seluar kena potong.  Tahun ni kena beli baju serba-serbi baru, sebab fizikal dia dah jadi kurus dan tinggi pula.