Suasana selepas solat Isya' dua minggu sebelum berwukuf
Dengarkanlah kalimah talbiyah ini yang boleh menaikkan semangat dan tekad untuk mengerjakan haji.
Alhamdulillah ummi dan ayah dapat menunaikan haji tahun 2013. Kami bertolak pada 22 September, lebih kurang 3 minggu sebelum wukuf di Arafah. Jemaah penerbangan terakhir adalah pada 8 Oktober, seminggu sebelum wukuf. Kami sempat menemankan Sarah yang ada peperiksaan UPSR pada pertengahan September tersebut, sebelum bertolak ke Mekah. Sebenarnya ada 3 anak kami yang ambil peperiksaan besar tahun itu. Aisyah ambil PMR pada bulan Oktober, ketika kami masih berada di Mekah, dan Rayyan pula ambil SPM pada bulan November 2013.
Ummi baru nak blog untuk haji, sebab setahun dua lepas tu ummi sibuk betul dengan kerja dan anak2. Sekarang dah tak kerja dan anak2 yang dulu kecil pun dah berdikari. Jadi ummi sambung di sini khas untuk mencatat pengalaman ummi waktu di sana.
Kanak2 tahfiz di satu sudut masjid selepas waktu subuh
Proses dan Persediaan Ke Mekah
Pendaftaran haji kami lakukan pada tahun 2006 dan giliran kami pada 2014. Tetapi seawal tahun 2013, kami telah dihubungi pihak Tabung Haji memaklumkan giliran kami telah diawalkan, serta diminta untuk memilih penerbangan awal atau akhir, serta airport pilihan kami. Carta alir wajib dan rukun haji pula banyak di web, serta di buku2 yang kami beli atau diberi percuma oleh pihak tabung haji.
Kursus haji dibuat setiap minggu di setiap masjid utama di Johor, dan kami mengikuti kursus haji perdana di UTM. Kami dipimpin oleh Ustaz Noh Gadut. Teringat kami buat latihan praktikal mengutip batu waktu malam di tepi tasik UTM. Satu keluarga Arab yang sedang berkelah di situ agak terkejut tengok manusia berpakaian ihram tiba2 berombongan berarak di tepi tasik.
April 2013, kami diminta buat medical checkup. Ketika inilah ayah dapat tahu dia telah mendapat kencing manis dan mesti mendapat rawatan. Sekiranya sembuh sebelum tarikh yang ditentukan, barulah dibenarkan pergi.
Tiba waktu untuk bertolak, kami berkumpul di Kelana Jaya . Dari situ, setiap jemaah dibawa ke KLIA menaiki bas. Setelah check in, kami berkumpul pula di dewan KLIA mendengar taklimat akhir sebelum penerbangan. Berbagai pengalaman jemaah terdahulu dikongsi untuk dijadikan pengajaran.
Bagi yang mahu melakukan haji tamattuk, mestilah berniat ihram umrah ketika tiba di Miqat (semasa dalam penerbangan bagi yang terbang ke Jeddah dan terus ke Mekah). Niat ihram haji akan dilakukan pada 8 Zulhijjah nanti, iaitu sewaktu mahu berangkat ke Arafah untuk wuquf. Selepas melakukan tawaf qudum (tawaf selamat datang), bersaei dan bercukur, kita bebas dari ihram sehinggalah kita berniat ihram haji pula. Sementara menunggu waktu tersebut, kita boleh melakukan umrah sunat sebanyak mana yang kita mahu. Tetapi kita mesti membayar dam seekor kambing atau senilai dengannya kerana melakukan haji cara ini.
Jika kita berniat ihram haji semasa di miqat, maka mulai dari hari itulah kita akan berada dalan ihram dan mesti mematuhi setiap pantang larangnya sehingga habis semua proses rukun haji. Walaupun nampak berat kerana terpaksa berihram sepanjang masa di Mekah, tetapi memang ada di antara jemaah yang sanggup melakukannya. Haji ini dinamakan haji ifrad.
Tetapi ada juga bakal jemaah yang tidak peka dan mengambil ringan kaedah dan rukun haji, telah berniat ihram haji sejak di rumah lagi, sedangkan laporan perubatannya belum pun diluluskan dan belum mendapat visa haji. Mereka yang sudah berniat ihram haji, tetapi tidak dapat visa dan tidak dapat mengerjakan haji kerana ada halangan mestilah membayar dam seekor kambing. Keadaannya merujuk kepada rombongan haji Rasulullah yang tidak dibenarkan masuk ke Mekah, lalu mereka bercukur dan menyembelih binatang sebagai dam.
Kami tiba melalui airport di Jeddah, dan terus meuju ke Mekah. Kami bertolak ke Madinah 2 minggu selepas hari wukuf berakhir, dan dapat merasa keadaan yang semakin lengang dan sunyi di Masjidil Haram selepas sebahagian besar jemaah haji beransur-ansur meninggalkan Mekah. Ketika di Madinah, sudah kurang jemaah dari luar. Kebanyakan waktu solat dihadiri oleh warga Arab. .
Kami berada di Madinah selama 10 hari. Berlaku kekecohan di hotel kami ketika hendak berangkat balik kerana buat pertama kali, beg setiap jemaah ditimbang secara individu, dimana setiap beg tidak boleh melebihi 30kg. Dahulu, beg jemaah Malaysia ditimbang secara kumpulan. Ramailah rakan kami yang begnya melebihi 30kg terpaksa mengeluarkan barang masing2 dan menumpang beg rakan lain yang kekurangan berat. Sebenarnya banyak lagi ujian waktu di sana, yang memerlukan ketabahan dan kesabaran yang tinggi.
Bagi ummi, ujian menahan sabar adalah yang paling besar sekali di Mekah. Alhamdulillah selepas pulang dari haji, ummi tidak lagi menyumpah2 kereta yang memotong barisan pada waktu puncak ketika memandu ke tempat kerja. Dahulu bukan sahaja ummi menyumpah mereka, malah ummi pernah dengan sengaja melanggar belakang kereta yang memotong barisan di hadapan ummi. Pemandu kereta tersebut terkejut, pandang cermin belakang, ternampak muka ummi yang garang, dan terus memecut laju. Kini dengan bersabar, ummi dapati sakit kepala ummi berkurangan kerana stress dapat dikurangkan, dan samada kita menyumpah atau tidak, kita memang takkan dapat mengubah pun keadaan di sekeliling kita.
Panduan Mengerjakan Haji dari laman tabung haji ini sesuai dijadikan bahan rujukan sebelum ke Mekah..
Rukun dan Wajib Haji
Al Baqarah 2:196 "dan sempurnakanlah ibadah haji dan ‘umrah karena Allah".
Rukun ibadah umrah mestilah berniat ihram, tawaf, saie, bercukur dan tertib.
Rukun haji, selain berniat ihram haji, adalah sama seperti umrah cuma ditambah dengan wukuf di Arafah pada 9 Zulhijjah. Ibadah haji cuma boleh dilakukan pada musim haji sahaja, manakala umrah bila-bila masa sepanjang tahun.
Haji juga ada wajib haji antaranya mabit di Muzdalifah, bermalam di Mina dan melontar di Jamrah.
Rukun jika ditinggalkan haji tak sah, wajib haji pula jika ditinggalkan kena bayar dam.
Wukuf di Arafah
Mabit di Muzdalifah, sambil kutip batu kerikil
Rombongan jemaah Indonesia melalui Terowong Muaissem di Mina
Ada jemaah yang tidak bermalam di Mina, sebaliknya balik ke hotel di Mekah menaiki teksi. Mereka sanggup berulang-alik dalam kesesakan setiap hari untuk melontar ke jamrah. Tapi bagi ummi apa ertinya kita berhaji tapi tidak merasa sendiri pengalaman yang pasti tiada semasa ibadah umrah. Tinggal di dalam khemah dan beratur di depan toilet lebih sejam semata-mata nak bersihkan diri sebelum berwuduk untuk solat subuh berjemaah pada pukul 5 pagi. Ada yang tidur beralas tikar disekitar jamrah supaya dapat melontar selepas subuh esoknya.
Kebanyakan jemaah Malaysia dan negara luar melontar dahulu sebelum bertawaf di Masjidil Haram. Jemaah tempatan pula sebaliknya, mereka memilih untuk bertawaf dahulu baru pergi melontar. Kedua2 cara dibolehkan. Yang penting wuquf di Arafah mestilah pada 9 Zulhijjah.
Jemaah Arab tempatan mula memenuhi Masjidil Haram sekitar 10 atau 11 Zulhijjah khas untuk melakukan rukun tawaf dan saei sahaja, dan terus pulang ke rumah masing2 atau ke Mina. Sebab itu susah nak jumpa jemaah tempatan waktu musim haji kecuali pada tarikh2 di atas.
Semasa bertawaf sepanjang musim haji, keimanan dan kesabaran memang benar2 teruji. Ada yang sanggup merempuh, nenolak atau menepis orang lain semasa bertawaf kerana mahu cepat2 menghabiskan 7 pusingan atau berebut mengucup hajaratul aswad. Apabila buku bertemu ruas, terjadilah pergaduhan sehingga darah pernah mengalir betul2 di hadapan kaabah kerana kes rempuh merempuh ini.
Penginapan.
Alhamdulillah hotel untuk jemaah Malaysia berada antara 700 - 1000 meter dari masjid. Hotel yang lebih dekat dari itu, khas untuk jemaah yang membayar lebih dari biasa. Mereka yang membayar pakej haji RM20,000-RM40,000 sekitar 300-600 m dari masjid. Hotel2 di hadapan masjid bagi pakej bernilai RM50,000 sehingga RM150,000.
Hotel Hilton yang terletak betul2 di hadapan masjid.
Tapi alhamdulillah, dengan doa yang tak putus-putus, walaupun bersesak ketika tawaf, atau berjalan di tengah panas terik 750m dari hotel Hassan Khazindar ke Masjidil Haram, ummi tak pernah kena migrain atau sakit kepala pun sepanjang berada di sana. Sekotak pil penahan sakit yang dibawa dari Malaysia tak pernah diguna. Uumi cuma kena batuk2 kering selama seminggu yang juga dirasai oleh sebahagian besar jemaah kerana perubahan cuaca dan debu.
Tahap Kesihatan Jemaah
Dari Jabir r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: "Satu solat dimasjidku (masjid Nabi di Madinah) lebih afdhal daripada seribu solat di masjid-masjid yang lain, kecuali Masjidil Haram: dan satu solat di Masjidil Haram pula lebih afdhal daripada seratus ribu solat di masjid-masjid yang lain."
Pada musim haji, team doktor dan pembantunya sentiasa ada di bilik rawatan setiap maktab hotel. Bagi ibadah haji, tahap kesihatan amat ditekankan. Setiap hari, bilik rawatan memang penuh dengan pesakit, kerana tahap kesihatan para jemaah terutama yang sudah berusia, merosot dengan teruknya ketika berada di sana. Ramai jemaah haji berusia yang jatuh sakit atau meninggal dunia di Mekah kerana cuaca panas kering, penyebaran penyakit dari jemaah2 lain, serta aktiviti fizikal dari Subuh hingga malam.
Waktu puncak dari 2 minggu sebelum wukuf, jemaah haji mula berpusu2 datang ke Mekah. Kita mesti pergi ke masjid seawal 2 am untuk berpeluang solat subuh di dalam masjid walaupun subuh masuk pukul 5 pagi. Jika lambat, besar kemungkinan akan solat di atas jalanraya sahaja. Ramai jemaah berusia dan uzur di penempatan kami yang bersolat subuh di surau hotel sahaja. Malah ada yang sekali-sekala sahaja ke masjid. Sebab itu sangat penting untuk jemaah berusia ditemankan oleh anak atau saudara mereka yang sihat, walaupun itu bukan syarat wajib untuk mereka ke Mekah.
Khemah ayah semasa bermalam di Mina
Projek pembesaran Masjidil - Haram yang menyebabkan
persekitaran masjid berhabuk dan berdebu (gambar dari internet)
persekitaran masjid berhabuk dan berdebu (gambar dari internet)
Semasa ummi mengikuti pakej umrah dahulu, ramai jemaah datang dari negara2 Arab, Turki, Iran, Malaysia dan Asia Selatan (Pakistan/India/Bangladesh). Cuma sebahagian kecil dari negara2 lain seperti Afrika, Asia Tengah dan Indonesia. Ini anggaran ummi sahaja berdasarkan apa yang ummi nampak di masjid setiap hari. Malah semasa umrah, ummi sempat berfikir mengapa arahan di beberapa papan berbahasa Indonesia, bukan Melayu. Sedangkan jemaah Melayu jauh lebih ramai dari Indonesia. Ya ketika itu ummi langsung tak terfikir keadaan semasa musim haji adalah sebaliknya.
10 negara dengan jumlah jemaah haji tertinggi di Mekah (dari internet)
Jemaah haji dari China
Sekumpulan jemaah dari Indonesia di hadapan jemaah dari Kurdistan
Jemaah dari Nigeria berbadan tinggi dan besar. Walaupun ada yang datang berkumpulan dan merempuh jemaah lain semasa tawaf, tetapi secara individu sikap mereka agak gentleman. Mereka suka memakai wangian dan sangat melindungi kaum wanita. Ayah pernah ditegur kerana biarkan ummi berjalan di belakang semasa tawaf. Arab Saudi lebih ketat pengawasannya kali ini kerana warga Nigeria adalah antara yang teramai menjadi pendatang tanpa izin di Mekah, terutama kaum wanita. Kebanyakannya bermula dengan berumrah atau haji, kemudian terus tinggal di sana berniaga, meminta sedekah, atau pekerjaan lain.
Jemaah wanita dari Nigeria
Jemaah2 dari Asia Selatan (Pakistan, India, Bangladesh) pula ramai yang tidur di halaman masjid atau hotel menanti subuh. Sebenarnya masa umrah pun mereka buat begitu juga. Kediaman mereka terlalu jauh sehingga tidak berbaloi untuk balik melainkan untuk mandi dan bertukar pakaian. Ketika perjalanan tawaf sangat perlahan kerana terlalu sesak, ada di antara mereka ini terutama kaum wanitanya sanggup menepis orang ketepi untuk berjalan laju ke depan. Kaum lelaki tua pula biasanya berpaut pada bahu orang lain untuk ke hadapan, seolah2 bahu orang lain itu ibarat dinding atau kayu penahan.
Suasana biasa sebuah bandar di India . Dari web triphobo.
Suasana di Dhaka, Bangladesh. Dari web ISMA
Ayah yang pernah ke negara2 Asia Selatan beberapa kali berkata, bandar2 di sana sangat sesak dan singgul menyinggul semasa berjalan adalah perkara biasa. Rakyat dari negara kurang padat mungkin tersinggung bila ditolak atau ditepis, tapi rakyat dari negara sesak dan miskin mengganggap itu perkara biasa sahaja. Sekiranya tak mahu terhimpit, kita boleh bertawaf di dalam masjid (kawasan berbumbung) atau di atas bumbung masjid. Pastinya dengan jarak berkali ganda dibandingkan dengan bertawaf di dataran kaabah.
Ayah pula sering disangka sebagai jemaah dari negara2 tersebut, dan ada saja yang datang bertanya soalan atau meminta pertolongan. Pastinya dalam bahasa yang langsung tidak difahami. Biasanya ayah akan meminta pertolongan cleaner2 masjid yang kebanyakannya bangsa Pakistan/
Bangladesh untuk menjawap soalan2 tersebut.
Suami isteri dari Asia Selatan
Berlindung dari terik matahari di ruang bawah Zam Zam Tower.
Malah ketika bertawaf, mereka yang berpaut antara satu sama lain merempuh sahaja jemaah lain, kerana tidak mahu terpecah dari rombongannya. Sekiranya terkeluar dari rombongan terutama pada hari pertama mereka tiba, ada yang terus panik serta tidak tahu apa yang patut dilakukan. Kami suami isteri pernah diminta mengiringi jemaah wanita Indonesia yang tersesat keluar dari kumpulannya.
Giliran jemaah haji Indonesia mengikut lokasi, bukan tahun seperti kita. Ummi sangat bertuah kerana tahun 2013, jemaah haji dari Borneo yang dapat giliran untuk ke Mekah. Ummi dapat mendengar perbualan dalam bahasa banjar yang masih boleh difahami. Beberapa kali kami terserempak dengan jemaah dari Barito yang berbual dalam bahasa Banjar. Hilanglah kerinduan ummi nak dengar bahasa yang dah semakin pupus di Malaysia.
Satu peristiwa lucu terjadi semasa di Madinah. Masjid di Madinah tidak sesesak di Mekah, dan rakyat Indonesia mulai relaks dan bergerak tanpa terikat dalam kumpulan. Hotel mereka pun terletak dekat dengan masjid. Seorang nenek dari Indonesia datang mendekati ummi dan bertanyakan sesuatu. Ummi cuba memahami perkataanya dan bertanya apa maksudnya? Nenek itu mengulang lagi soalannya beberapa kali sehingga nampak marah sangat dengan ummi. Comel je muka nenek masa marah. Mungkin dia menyangka ummi rakyat Indonesia yang lupa daratan.
Ummi berjaya memanggil seorang wanita Indonesia yang sedang berlalu di situ dan minta dia tolong. Wanita itu bertanya dalam bahasa Jawa dan selepas tu barulah nenek tersebut puas hati dan dapat jawapan. Wanita Jawa itu beritahu ummi, nenek tersebut bercakap dalam bahasa Jawa halus yang jarang diguna lagi sekarang.
Ayah dengan baju dari Indonesia hadiah dari rakannya. Semasa nak pergi bersarapan.
Warga Mesir walaupun jumlah mereka juga ramai, tetapi rupa mereka seperti orang tempatan dan kemungkinan besar datang secara persendirian atau rombongan2 kecil dengan kenderaan darat seperti bas dan kereta. Jadi susah nak temui atau kenal mereka dalam kumpulan besar seperti jemaah Nigeria dan Indonesia.
Jemaah Iran dapat dikenali kerana mereka sentiasa berada dalam kumpulan masing2 dengan tulisan bandar asal jelas terpampang di belakang hijab. Yang paling ummi ingat jemaah dari Isfahan kerana gadis-gadisnya yang cantik berpipi pink dan comel. Elok sangatlah mereka berpurdah di luar rumah. Jemaah Turki pula lebih mudah dikenal kerana kebanyakan jemaah lelaki berkemeja atau Tshirt belang, Rupa mereka juga tidak sama dengan Arab, lebih kepada caucasian dan ada yang seperti orang2 di Asia Tengah.
Jemaah Turki di hadapan bangunan perpustakaan yang sudah di tutup
Ini adalah tapak rumah Rasulullah saw dilahirkan.
Makanan
Jemaah kita disediakan makan tengahari dan malam dengan staf katering ramai dari bangsa Pattani yang sudah lama berada di Mekah. Makanan musim haji disediakan agak tawar rasa dan rempahnya, mungkin mengambil kira majoriti jemaah sudah berusia dan mempunyai rangkaian penyakit yang perlukan kawalan diet. Inilah sebenarnya makanan yang elok dan sihat, sebab berat ummi pun turun 5 kg selepas musim haji, dan ada beberapa jemaah yang tinggi paras gulanya dapat dikawal di sini.
Ummi sentiasa ada jeruk sayur2an yang dibeli dari Supermarket Bin Dawood atau al Rayyan, untuk dimakan dengan nasi. Kawan2 sebilik ummi pula sanggup beli bawang, cili padi dan kicap untuk buat sambal kicap. Kalau cili hijau yang tak pedas tu, ummi makanlah. Susu, buah dan yogurt sentiasa ada dalam peti ais. Kebetulan rakan2 sebilik ummi (4 orang) semuanya hampir sebaya, jadi makanan ringan kegemaran kami agak sama citarasanya.
Makanan yang boleh dibeli melimpah ruah. Kedai buah, kedai runcit, ada di mana - mana. Ummi dapat rasa buah delima yang sangat manis dan besar semasa di sana. Ada warga Indonesia berniaga kuih-muih Melayu didepan pintu masuk ke Hotel Tabung Haji. Selain itu, Hotel Tabung Haji dan beberapa hotel lain menyediakan cafe yang dibuka sepanjang masa. Malangnya hotel kami cuma ada kios yang dibuka pada waktu2 tertentu. Nasi lemak dan nasi kerabu biasanya dijual untuk sarapan, selain roti2 dan mee segera. Tetapi kami jarang dapat rasa kerana kami masih berada di masjid ketika itu, dan apabila pulang semuanya sudah habis terjual.
Apabila sudah lama di Mekah, barulah kami berjalan2 di dalam mall seperti Zam Zam Tower dan Shafa Tower di hadapan masjid, dan rupanya ada kios KFC yang sepi pengunjung, D'SAJI Felda, restoren Indonesia dan banyak lagi kios kebab sehingga kita boleh makan dengan selesa. Kami biasanya ke sini untuk bersarapan. Ruang berair-con serta banyak disediakan kerusi meja. Pelanggan agak ramai, tetapi ruang yang luas dan selesa cukup untuk semua.,
Sarapan kegemaran kami, teh susu tanpa gula dan murtabak
Selain dari tempat2 tersebut, kios2 menjual kebab dan lain2 juga ada di bawah2 hotel depan masjid. tiada kerusi meja disediakan. Tempat2 ini biasanya diserbu golongan jemaah marhain yang tak berani nak mencecahkan kaki ke dalam mall2 di dalam hotel, padahal di dalam sana lagi banyak pilihannya dan selesa pula. Harga makanan adalah sama. Beli ayam di Kios KFC betul2 di depan Masjidil Haram, seolah-olah berada di negara third world, kerana tolak menolak dan berebut2 nak pesan. Kami yang sudah berada didepan pun tidak dipedulikan kerana orang2 di belakang, kiri dan kanan menghulurkan duit terlebih dulu. Ya hulur duit baru pesan makanan. Pekerja KFC pun dari third world juga, begitulah jadinya. Ketika makan di situ pula, beberapa kali jemaah haji berwajah Pakistan @ Bangladesh meminta ayam dari kami. Sejak itu, ummi dan ayah sengaja beli ayam goreng (bukan dari kios yg sesak itu) atau buah2an lebih dari keperluan kami, supaya dapat dikongsi dengan mana2 jemaah haji yang sedang memandang kami dengan penuh harapan. Begitu juga makan tengahari yang disediakan pihak hotel, ummi sedekahkan sahaja pada mana2 jemaah yang memerlukan.
Kongsi makanan tak mengapa, tapi jangan cari pasal pergi ke sarang peminta sedekah di ruang bawah Menara Zam Zam. Ummi tersilap kerana bawa sekotak besar ayam goreng ke situ ingat nak berkongsi, tetapi terus dikerumuni berbelas2 peminta sedekah dari Afrika (bukan jemaah haji sebab masing2 mendukung bayi) yang meminta dan mendesak ummi memberi duit pada mereka. Kalau beri sikit mereka kata tak cukup. Takut sangat, betul2 takut. Peminta sedekah juga ramai di tepi2 hotel, tetapi mereka tidaklah agresif sangat sebab tempat laluan orang ramai. Penduduk Arab Saudi ada 29 juta orang sahaja, tetapi pendatang asing termasuk tanpa izin ada hampir 10 juta. Lagi kronik masalah negara mereka berbanding kita.
Bukan sahaja kerana peraturan, tetapi untuk keselamatan kita juga. Yang ini tiada beza pun antara umrah dan musim haji, kecuali ketika umrah kita sentiasa dalam group ahli keluarga atau teman2 yang ramai jadi tiada masalah.
Kebanyakan penjual di sini berbangsa Pakistan/Bangladesh yang sudah lama meninggalkan negara mereka. Teksi atau van yang kita perlukan untuk keluar berumrah pula dikuasai lelaki dari Mesir yang kasar. Wanita yang tidak ditemani suami atau rakan, besar kemungkinan akan di kacau. Rakan ummi yang ada darah kacukan Arab, selalu diusik peniaga2 walaupun memakai purdah sewaktu kami bershopping jubah. Mereka tahu yang wajahnya cantik di sebalik purdah itu, Malah ummi yang sudah berusia juga diusik ketika ke kedai seorang diri. Sejak itu ummi sentiasa bersama teman atau ayah sahaja.
Ummi tutup muka kerana persekitaran yang berdebu.
Biasanya ummi pakai topeng muka, mungkin waktu ini tak bawa.
Ummi seorang surirumah sekarang, dan letakkan iklan adsense ini untuk tambah pendapatan (walau baru dapat 12 sen selepas 3 minggu, ada juga lah kiranya). Sekiranya saudara suka dengan tulisan di atas ni, mohon support ummi dengan klik pada iklan di bawah. Sekiranya tak suka iklan tersebut, klik pada x sahaja dan pilih sebab, insyaallah iklan sepertinya tak kan muncul lagi. Kalau tak nak buat apa2 pun boleh, biar sahaja iklan itu duduk disitu.
Link Pilihan Saya:
Panduan untuk Cepatkan Giliran Haji
Assalammualaikum...terima kasih di atas artikel yang penuh info! :)
BalasPadamAssalamualaikum... Terima kasih ats perkongsian pengalaman ini. . Sgt bermakna
BalasPadammashaallah...terima kasih atas perkongsian pengalaman...doakan saya juga dapat tunaikan haji inshallah
BalasPadamTerimakasih semuanya yang mengikuti blog saya, mudah-mudahan semuanya dimurahkan rezeki dapat menunaikan haji. Insyaallah aaminn.
BalasPadam