Hari ni baru dapat tahu asal usul atuk dan nenek sebelah mak ialah di kampung Matang Kunda, Bagan Datoh, Perak. Mak pernah ke sana masa kecil, mak kata ada permatang pasir kat situ. Cari kat google map, cuma ada ladang aje.
Baru dapat tahu asal usul datuk saya sebelah emak dari Matang Kunda, Bagan Datoh, Perak. Gambar di bawah adalah rumah semasa atuk membesar di Kg Matang Kunda.
Baru dapat tahu asal usul datuk saya sebelah emak dari Matang Kunda, Bagan Datoh, Perak. Gambar di bawah adalah rumah semasa atuk membesar di Kg Matang Kunda.
Datuk saya dilahirkan sekitar 1910an, dan di dalam gambar ini umurnya sekitar 10 tahun. Di akhir hayatnya, atuk tinggal di Kg Sungai Ayer Tawar, Sabak Bernam, Selangor.
Syawal 2010, kami puas beraya kat kampung, bermula dengan Segamat, balik Melaka, pastu lawat saudara mara jauh di Sabak Bernam sebab datuk dan nenek dah tiada, Teluk Intan dan Sungai Besar.
Sayang tak dapat pergi rumah sedara-mara di Bagan Datoh dan KL., sebab tak cukup masa. Budak2 sekolah Cina dah start sekolah hari Selasa, sekolah kebangsaan masih cuiti sampai Jumaat. Aisyah pulak nak ambik UPSR minggu depannya.
Rumah atuk yang sudah kosong di Sungai Ayer Tawar, Sabak Bernam, Selangor . Gambar tahun 2010 sewaktu kami pulang berhari raya melawat saudara mara. Datuk dan nenek sudah tiada.
Update Ogos 2012: Kami berjaya menjejak jalan masuk ke Matang Kunda,
tapi tak pergi sampai ke pusat kampung tu sebab terasa jauh di pedalaman. Tanpa peta dan takut sesat, kami berpatah balik separuh jalan bila tak jumpa satu rumah pun. Sempat snap gambar2 di bawah ni:
Update 2012 Sg Ayer Tawar, Sabak Bernam;
Gambar di bawah ini saya ambil dari google map setelah lama tak pulang ke kampung. Beberapa tahun kemudian rumah ini dirobohkan selepas tapaknya dijual kepada saudara kami.
Rumah peninggalan atuk di Sg Ayer Tawar, Sabak Bernam
Rumah arwah atuk di zaman kegemilangannya (2002)
Update Dis 2021 Matang Kunda
Setelah lama merantau, kami berpeluang melawat beting pasir tempat bakal Sultan Perak dibawa sebelum ditabalkan. Beting ini dipanggil Beting Beras Basah. Beting pasir di muara Sungai Perak tu tak jauh dari Kampung Matang Kunda. Patutlah semasa kecil, emak sangka itu kampung emak juga.
Beting pasir di Muara Sungai Perak
Kemudian kami ke Bagan Datoh dan seterusnya Matang Kunda. Dulu kami pergi buta2 begitu sahaja. Google map mungkin sudah ada, tetapi kami masih menggunakan Nokia 3310 ketika itu.
Terletak di antara Selekoh dan Bagan Datuk, Sekolah Menengah Agama Irshadiah terletak di sebelah kanan jalan masuk ke kampung tersebut. Di sebelah kiri ada sebuah rumah yang 10 tahun dulu belum ada.
Kami bergerak jauh ke dalam melalui kebun2 dan rumah2, sehingga berjumpa masjid Matang Kunda 2 km kemudian. Di situ terletak sekolah kebangsaan Matang Kunda, dan sekolah Arab al Islah yang dibina pada tahun 1935.
Sekolah Arab al Islah, kini dikenai sebagai Madrasah al Islah addiniyah, Matang Kunda.
Masjid Matang Kunda sekarang adalah masjid baru yang dibina pada tahun 1968. Masjid asal yang dibina tahun 1890 telah dipindahkan Parit 12 Sungai Besar.
Masjid asal Matang Kunda. Masjid Nurul Falah, Kg Sungai Panjang, Parit 12 Sg Besar. Cuma tinggal sebahagian masjid seperti bumbung ini dan rangka utama yang masih asli, yang lain telah ditambahbaik.
Sempat pula merakam sawah padi dan parit kecil di sebelah masjid.