Ahad, 16 Jun 2013

Bercuti ke Danau Toba, Brastagi, Medan - hari 3 dan 4

Malam itu di Mikie Hotel, kami makan malam di restoren di seberang jalan.  Bilik untuk Mikie Value cantik dan bersih, cuma agak kecil.  Kami minta katil king size, sebab ada 2 bilik yg kena kongsi 3 orang sebilik.  Tak perlu tambah katil sebab budak2 je pun yang menyelit tu.  Mikie Hotel ni ada Funland yang ada beberapa ride untuk kanak2, tapi buka cuma masa weekend dan cuti sekolah indonesia sahaja.


Hari ketiga, sebaik keluar dari Mikie Hotel, terus nampak Gunung Sinabung dari jauh.  Masyaallah cuaca sangat terang benderang dan gunung nampak jelas dari situ.  Masa ummi pergi dulu, langsung tak nampak Sinabung sebab kabus tebal.  Kemudian kami naik Bukit Gundiling, dan dari atas bukit, nampak lagi Gunung Sinabung dan Gunung Sibayak.  Gunung  Sinabung baru aje meletup tahun 2010 yang lalu.

terkini:  Sinabung meletup lagi pada 16 September 2013, 3 bulan aje lepas kami ke sana.  Klik link ini untuk gambar2 berkaitan..





Turun ke kaki bukit, terus beberapa orang bersama kuda mereka datang betul2 tepi kereta kami.  Semasa Hf  turun, seorang dari mereka terus mengangkat Hf naik ke atas kuda.  Desperatenya mereka ni nak cari pelancong.  Anak2 lelaki semua nak naik kuda.  Mereka terus memujuk kami semua naik juga, tapi ummi bertegas cuma anak2 lelaki saja yang naik.  Ummi dan nenek terus ke kedai bunga dan beli beberapa benih bunga di situ.  Suka2 je, manakan sama cuaca yang sejuk di sini dengan cuaca yang panas di tempat kami.




Kemudian kami teruskan perjalanan.  Sebelum tu kami singgah untuk beli wajik yang sangat sedap dan tak berapa manis di warong wajit dan pecal Bahagia, letaknya di tepi jalan je dan ramai mat saleh makan di situ. Sebab baru je sarapan, kami beli bungkus je buat bekalan makan dalam kereta.  Harganya 10,000 rupiah atau RM3 lebih sebekas.  Nenek kata beli sikit je sebab nenek tak suka wajik.  Tapi lepas rasa je, nenek terus menyesal sebab tak beli banyak2. Kedai ni terletak di antara pusat bandar Brastagi dan Mikie Hotel.





Selepas keluar dari bandar Brastagi, kami melalui pekan2 kecil dan rumah2 dengan nurseri bunga dan kebun strawberi di halamannya.  Kami berhenti untuk petik strawberi pula.  Malangnya sekarang belum musim lagi, sebab kebanyakan pokok strawberi baru nak berputik.  Ia dijangka akan masak sebulan lagi, sekitar bulan Julai.  Tapi dapatlah juga 1 kg untuk dibawa balik.  Bayarannya  35000 rupiah, lebihkurang RM12.






Kami tiba di Medan hampir tengahari, dan kota Medan sangat padat dengan segala kenderaan awam, motor, beca, angkut dan trak.  Kalau memandu di sini hari2, memang boleh stress.   Aircon kereta kami rosak pula tu. Supir bawa kami ronda2 beli belah telekung, kuih dan makan nasi padang. Sehingga itulah khidmat pak supir pada kami, sebab mulai saat ini kami nak naik angkut atau beca sahaja.




Malam itu kami ke Medan Mall makan KFC.  Tambang 20,000 rupiah satu beca.     

Mungkin Karibia Hotel terletak di kawasan penduduk Kristian kerana banyak betul gereja.  Tapi di sini, tak boleh beza antara orang Islam dan Kristian, sebab rupa mereka sama aje, melainkan orang Islam itu pakai tudung.  Penduduk Kristian di Medan 35 %, di Brastagi 50%, dan di Samosir, hampir 100%.



Lelaki ni menjual minyak biodiesel di dalam botol.  Pemandangan begini adalah biasa di seluruh tempat yang kami lalui. Pagi-pagi lagi, kami dah berjalan kaki menyusuri jalan A Yani, jalan yang paling penting di Kota Medan.   Di sepanjang jalan A Yani, banyak jumpa bank, pejabat akhbar, kedai2 muzik dan peralatan sukan,dan muzium.  Bank CIMB pun ada di sini.  Malangnya sebab belum pukul 8 pagi, tiada satu perniagaan pun yang buka lagi. 






Pasar Ikan yang disebut2 oleh pelancong Malaysia.  Tapi baru 2-3 kedai yang buka.  Hotel berdekatan adalah Hotel Kesawan.  Tudung2 yang ummi suka langsung takde, sebab ummi suka plain aje dan labuh sikit.  Tapi kebanyakan tudung di sini bermanik2 dan berlekuk2 di sana sini.   Ummi beli tudung harga 45000 rupiah atau RM15.  Alhamdulillah kami dah selesai beli telekung semalam.






Kami berjalan kaki lagi dan singgah di Istana Maimoon kepunyaan Kesultanan Melayu Deli. Istana ini dibina tahun 1888, tapi Kesultanan Deli  terhapus bila Indonesia merdeka tahun 1945.   Kemudian kami ke Masjid Raya yang dibina tahun 1906. Masjid ini terletak hampir dengan Hotel Madani, hotel Islam pertama di Medan.

Selepas itu kami ke Yuki Mall yang terletak diseberang jalan masjid.  Lagi sunyi dari Medan Mall, cuma kami dan satu group lain sahaja pelanggan ketika itu.  Ummi ke situ sebab cari bilik air.  Tapi nampak banyak pula beg sandang yang dijual.  Aisyah beli satu berharga RM45.  Nenek yang bayarkan sebab duit rupiah ummi dah habis.  Mahal juga harga barang dan peralatan sekolah mereka.  Agaknya produk tempatan macam tudung dan telekung aje yang murah. 




Kami terus ke pondok bas untuk menunggu angkut.  Tetapi banyak pula beca yang cuba memujuk kami.  Mereka boleh agak di mana hotel kami, dan beritahu tiada angkut ke Karibia Hotel.  Akhirnya dapatlah naik  angkut kuning yang baru ada 3 penumpang saja.  Bayaran angkut 3000 rupiah seorang.    Angkut turunkan kami lebihkurang 100 meter dari hotel.  Balik hotel lebihkurang 12 pmi,  berehat dan bersiap untuk checkout pukul 1 pm.  Di sini Zohor masuk 12.30 pm. 





Checkout sahaja dari hotel, beca malam tadi dah menunggu.   Mereka bawa kami makan di Amaliun Food court di sebelah kiri  hotel Madani.  Makanannya sangat sedap dan bervariasi dibandingkan dengan nasi padang yang kami makan dari hari pertama lagi.   Ummi makan nasi pandan yang sangat sedap dan jus avocado + coklat.  Nenek pesan jus oren, dan Hf jus mangga.  Kesemua jus tu asli dan pekat, sehingga kami kena minta ais lagi untuk mencairkannya. Satu set makanan RM6, berbaloi dengan sedap dan bersih.





Dari situ, beca terus hantar kami ke airport.  Selepas bulan Julai 2013, mungkin dah di airport baru.  Mereka malu2 minta tambah genapkan jadi RM60 sebab nak bahagi 3 beca.    Kami bagi saja sebab  mereka dah bersusah payah tunggu dan bawa kami ke 3 tempat berbeza.  Di airport, nenek beli lagi kuih kacang sebab nak habiskan duit rupiah.  Sarah dan Aisyah nak beli-belah lagi, jadi ummi bayar pakai duit ringgit aje. 

Bercuti ke Danau Toba, Brastagi, Medan - hari 1 dan 2

Pada 3 - 6 Jun 2013 yang lalu kami telah bercuti ke Sumatera, Indonesia.  Sebelum ke sana, ummi dah book hotel untuk 3 malam, dan tiket kapalterbang Air Asia ke Polonia, Medan. Ummi gunakan Agoda.com untuk book semua hotel dan cari hotel2 yang sedang sales sahaja.   Malam pertama di Pandu Lakeside, Tuk Tuk Samosir dengan harga RM61/bilik.  Malam kedua di Mikie Hotel and Resort, Brastagi dengan harga RM84/bilik, dan malam ketiga di Karibia Boutique Hotel, Medan juga dengan bayaran RM84/bilik.  Kesemua harga tu dah termasuk cukai sebanyak 21%.  Ummi tempah 3 bilik, untuk 5 orang dewasa dan 3 kanak2.  Jumlah tempahan untuk 3 bilik/hotel selama 3 malam lebihkurang RM700.


Peta perjalanan kami dari Medan-Danau Toba-Brastagi-Medan


Tambang kapalterbang agak mahal, sebab kami baru aje rancang bercuti seminggu sebelum tu.  Kena bayar RM2800 untuk 8 orang atau RM350 seorang.   Kalau nak murah, kenalah rancang percutian berbulan2 sebelum tu.  Jumlah belanja untuk seorang termasuk tambang flight, teksi hari pertama,  Pregio, beca dan angkut pada hari ke 4, dan makan tengahari/malam sepanjang di sana ialah RM550.  Tolak harga flight, jumlah perbelanjaan sepanjang disana untuk seorang ialah RM200 sahaja.  Kami tak ambik pakej sebab tengok kat internet semua antara RM450 - RM550 seorang, tak termasuk flight.  Semasa bersarapan di Mikie Hotel pada hari ke3, seorang ejen pakej menawarkan kami bercuti dengan mereka dengan harga RM500 seorang.  Masa tu ada 2 bas dari Pahang ikut pakej beliau. 

Percutian bermula dari airport Medan. Dari airport, kami naik teksi untuk ke syarikat sewa kereta.  Ummi tak book dulu sebab ayah kata di Indonesia senang nak cari kereta sewa.  Kami sewa kereta Pregio yang boleh muat untuk 11 orang.  Sewa untuk 3 hari sahaja, sebab hari ke 4 kami nak naik pengangkutan awam di Medan.  Jumlah sewa RM810 untuk 3 hari, termasuk bayaran supir. Kami sewa kereta dari Anna Rajawali Travel n Tours.  Penginapan dan makan supir bukan dibawah kami.


Kami bertolak ikut jalan Medan-Tebing Tinggi-Pematang Siantar-Parapat. Di sepanjang jalan Medan-Tebing Tinggi,  paling jelas kelihatan ialah ladang kelapa sawit.    Kami singgah di satu masjid yang cantik dan bersih di tengah2 ladang kelapa sawit  getah untuk solat Zohor/Asar.  Apabila perjalanan semakin ke tanah tinggi, kebun2 jagung, koko, dan sawah padi pula lebih banyak kelihatan. 








Bila tiba ke Parapat, anak2 terus waaaa waaa terkejut nampak Danau Toba yang sangat besar dan dari jauh, biru airnya.  Kami makan tengahari+malam sebab dah pukul 4 petang, dan beli sedikit  makanan, barang keperluan termasuk ubat demam, di Parapat.  Makanan halal susah nak dapat di Samosir.  Semasa feri belum bergerak, ramai kanak2 Suku Batak berenang di sekitarnya, dan akan menyelam jika ada pelancung yang membaling duit syiling ke laut.






Pandu Lakeside  tempat kami bermalam, lebih kepada motel/chalet.  Terletak di hujung tanjung Pulau Samosir yang bernama  Tuk Tuk,  berhadapan bandar Parapat.  Pemandangannya cantik dan biliknya luas dan selesa.   Cuma tak ada air panas, tapi hotel2 lain di pulau Samosir pun tak ada air panas juga.   3 bilik di tingkat atas dalam gambar itulah tempat kami menginap.








Penduduk Samosir hampir semuanya Kristian.  Kami terjumpa 1 warong kepunyaan orang Islam di sana, tetapi agak jauh dari hotel.  Kami bersarapan roti, mentega dan jem sahaja pagi itu setelah dinasihatkan oleh pak supir, kerana ditakuti sarapan yang disediakan pihak motel tidak halal.  Untuk yang was-was dengan status halal ini, lebih baik tidur di hotel Parapat sahaja.








Selepas sarapan, kami berkereta melalui rumah2 kampung dan melihat kegiatan penduduk di situ.  Rumah kampung yang atapnya berbentuk tajam ini dipanggil rumah adat.

Hampir semua ladang atau tanah sawah mempunyai kawasan perkuburan milik kaum keluarga.  Mereka yang berduit akan menggali semula kubur asal datuk nenek dan tulang2nya diletakkan di kubur baru yang dihias cantik. 





Tanah Tinggi Karo, selepas keluar dari Parapat. Kiri - Parapat,  dan kanan - Pulau Samosir.

Selepas puas melihat kampung2 dan melawat perkampungan klasik yang dijadikan muzium kaum Batak, kami terus menaiki feri ke Parapat semula.  Semasa menaiki lereng2 bukit yang curam  dari Parapat  ke Brastagi,  kami berjumpa beberapa kenderaan awam membawa kanak2 ke sekolah. Mereka duduk di bumbung kenderaan tanpa rasa takut atau gayat. Kami tak sempat ambil gambar ketika itu.  Ini dari akhbar Kompasiana, pemandangan bas awam  di Brastagi yang  sama  dengan mana2 tempat di tanah tinggi Karo.








Selepas melalui jalan2 kampung yang sempit, rumah2 kampung yang sangat hampir dengan jalanraya, dan kebun2 kopi, kobis dan limau manis, kami sampai ke Kabanjahe.   Di sini, kami terus ke tebing tinggi di tepi Danau Toba dan melihat pemandangan air terjun Sipiso Piso yang mengalir masuk ke Danau Toba.  Air terjun Sipiso Piso = 120 meter tinggi









Ini gambar Rayyan dan driver kami berlatarkan Danau Toba. Oleh kerana kamera ummi dah habis bateri pagi tadi, dan kamera ayah juga habis bateri ketika di sini, tak banyak gambar cantik dapat kami abadikan.  Ruginya.  Kami makan tengahari di situ.   Makanan mereka adalah lebih kepada masakan padddang dimana sayur pucuk ubi masak lemah pasti ada disediakan.

  





Sepanjang jalan ke Brastagi, hampir semua tanah ditanam dengan kobis, limau manis atau jagung.  Kanak2 pergi dan balik sekolah berjalan kaki ramai2, atau menaiki van awam.    Kami berhenti untuk membeli belah buah2an temasuk limau manis, avocado, salak, dan beberapa buah lain yang ummi dah lupa nama.

Dah hampir senja baru kami tiba di Brastagi, jadi kami terus ke hotel untuk bermalam.  Sambungan di  Brastagi dan Medan.