Rabu, 16 September 2015

Bercuti ke Jakarta Jun 2014

Kami bertolak dari Bandung sejak 8 pagi, dan sampai ke Taman Mini Indonesia   pukul 12 tengahari, padahal perjalanan setakat 145 km sahaja, kalau ikut google map 2 jam setengah  tanpa macet.  Itu ikut jalan tol sepenuhnya.  Kalau kat Malaysia, 145 km boleh sampai kurang 2 jam.

Dah sampai, terus naik kereta kabel.  Rendah je kabel tu, takat tinggi pokok kelapa.  Dapat tengok dari atas model perkampungan dan rumah2 di semua pulau2 utama Indonesia.   Belum puas, kami pergi lawat rumah2 tu berjalan kaki, singgah dari rumah ke rumah. Kesian nenek, penat sangat ikut anak cucu berjalan.   Kami tengok rumah Palembang, Sumatera yang paling sama bentuknya dengan rumah2 Melaka sekarang.  Logiklah sebab Parameswara pun berasal dari Palembang, tentulah design rumah dari sana yang dibawa ke sini.


Rumah yang paling cantik dan berseni pastilah rumah Minang dari Sumatera Barat.  Memang samalah dengan rumah2 orang besar di Negeri Sembilan.


Oleh kerana susur galur ummi adalah kaum Banjar dari Kalimantan Selatan, memang kami teringin sangat nak tengok rumah dari sana.  Tapi  uhmmm kenapa lain sangat dengan rumah2 kat kampung kami di Sabak Bernam dan Bagan Datoh?  Orang2 Banjar langsung tak bawa design rumah mereka ke Tanah Melayu ketika berhijrah beramai2 sekitar 1800an, semasa berlaku perang di Kalimantan Selatan dengan campurtangan Belanda. 


Semasa kami singgah ke rumah2 dari Sulawesi, barulah nampak persamaan dengan rumah2 di Selangor.  Rupanya design rumah2 di kampung kami mengambil design rumah Bugis.  Yang peliknya, di kampung kami tu tiada seorang Bugis pun. Mungkin kerana mereka yang berkuasa di Selangor dan menjadi raja, semua design rumah pun ikut tempat mereka.  Bahagian tepi rumah memang hampir2 sama dengan rumah arwah nenek ummi di Sungai Besar, dimana anjung dan dapur dipisahkan oleh ruang kecil dan sempit dan di situ juga ada tangga untuk ke luar rumah.





Selepas menghabiskan masa 2 jam di situ, kami bertolak ke penginapan kami di Kota Tua Jakarta.  Sengaja kami pilih tempat tu sebab masa kami pendek sahaja, dan ayah nak lawat Kota Tua sahaja.  Kami tak nak masuk ke dalam bandaraya Jakarta.  Lagipun ummi dan ayah dah pernah ke sana hampir 20 tahun yang lalu.
Kota tua ni tempat pemerintahan Belanda di Jakarta.  Bangunan2 Belanda di sini jauh lebih banyak dari di Melaka dan masih kukuh lagi.   Melaka betul2 jaga bandar mereka dan tarik ramai pelancung.   Bangunan2 Kota Tua nampak cantik dari depan sahaja,  sungai di bahagian belakangnya sangat kotor, busuk dan penuh sampah sarap.


Kami sempat merasa naik pengangkutan awam yang tiada di Malaysia.  Yang biru tuk tuk, dan kenderaan oren di bawah ialah bajaj.  Tuk tuk sudah dihentikan servisnya, yang tinggal sekarang ni bajaj je.



Kami bertolak ke Lapangan Terbang Sukarno-Hatta keesokannya.  Twins Hotel  kami tinggal tu sangat best, kami ambil 2 family room, dan sarapan disediakan.  Kota Tua juga agak dekat dengan airport, tak perlu merempuh macet kota Jakarta yang teruk semata2 nak balik Malaysia.  Jaraknya dalam peta 22 km sahaja, tapi lebihkurang sejam jugakla kami merangkak baru sampai.


Selasa, 1 September 2015

Bercuti ke Bandung Jun 2014

Percutian ni dah lama, lebih setahun yang lalu, tapi baru nak update hari ni.  Kami pergi 8 orang semuanya, 6 dewasa dan 2 kanak2 bawah 12 tahun.


Antara tempat yang kami tuju di Bandung adalah Tangkuban Parahu sejam dari Kota Bandung.  Suhu nyaman masa kmai ke sini, cuaca cerah dan tak berkabus, alhamdulillah nampak semua dari bahagian sebelah atas gunung.   Kena menapak beberapa anak tangga.  Nenek berehat di pondok penjual jagung sambil makan jagung bakar dan minum air panas.   Jangan tertipu dengan penjual strawberi sebab semuanya dah direndam dalam air gula.  Kami yg dah biasa diet kurang gula memang rasa macam makan gula, bukan makan buah.





 

 



Kawah Putih 2 jam dari Kota Bandung.  Kena bertolak awal pagi kalau tak nak terperangkap dalam macet dalam kota yang boleh jadi berjam2 lamanya.   Di sini kita boleh pergi sehingga ke gigi air di dalam kawah dan boleh pegang belerang.   Tangan berbau sulfur la lepas tu.  Di sini best sebab tak ada penjual yang paksa2 kita beli.   Ada banyak pondok yang jual buah2an termasuk strawberi di pintu masuk sebelum naik trak yang membawa kita ke kawah.   Kami singgah di warung minum air coklat dan teh panas di situ.



 

Pasar Terapung  atau Pasar Lembang paling seronok sekali.  Bermacam makanan Indonesia kita boleh cuba termasuk pecal, pisang coklat keju, sate kelinci, air jahe dan banyak lagi.    Ada pemandangan perkampungan comel dan sawah padi mini.   Kami sangat2 berpuas hati dan puas makan di situ, ada bermacam jenis dan harga berpatutan.  Tiada pelancung dari Malaysia ketika tu, kebanyakan pelancung  dari Jakarta.  Mungkin ramai rakyat Malaysia tak tahu tempat ni, sebab tu makanan masih murah lagi ......





Kami juga pergi ke Muzeum Geologi dan tengok model mukabumi pulau Jawa yang penuh gunung berapi.   Di dalam tu juga dipamerkan sulfur berbagai saiz dan warna dari berbagai kawah.  Sulfur dari kawah Ijen berbentuk ketulan besar dan berwarna kuning yang sangat terang.

Bagi ummi, makanan di Bandung sangat mahal!!!! Memang cekik darah dan cekik pelancung.   Ada guide (supir) pun sama je, dia yg pilih restoren untuk kami bersarapan.   Entah berapa dia dapat komisen agaknya.  Ada ke sarapan nasi goreng dan mee goreng untuk 8 orang pun seratus ringgit, sejak hari tu kami beli roti dan jem buat sarapan di apartment. 

Kami pergi ke Pasar Baru untuk makan dan membeli belah.  Tapi pasar tu (mall sebenarnya) terlalu sesak dan tak selesa terutama bagi nenek sebab nak jalan pun terpaksa berhimpit2.   Kena tarik pula tu dengan peminta sedekah dan penjual2 jalanan.    Makan tengahari di Pasar Baru pula sehingga dua ratus ringgit. Setakat nasi ayam penyet  dan mee ntah apa2.  Jangan makan di situ lagi!  Tapi buah salak yang di jual di situ sangat manis.  Nenek beli banyak sebab dah dipesan oleh kawan2nya.

Kami tidur di Bandung 3 malam, kemudian kami bertolak ke Jakarta.