Isnin, 6 April 2015

Homestay Melayu Sydney

Homestay 3 bilik kepunyaan masjid Darul Imaan, Arncliffe ini sesuai untuk keluarga sehingga 10 orang.  Homestay ini terletak sepelaung je dengan masjid.   Boleh solat setiap waktu di masjid kalau nak.  Berjalan tak sampai 5 minit ke stesen keretapi, dan ada beberapa kedai halal di pekan Arncliffe, berdekatan stesen.  Harga A$ 350 je semalam. 

wasap:  Pengurus homestay Tn Hj Abdul Razak  +61 421 223 986. 


Tolong jangan tanya di blog ini sebab saya masuk sini sebulan hingga 6 bulan sekali.  Takut lambat dapat jawapan.


Homestay ini boleh disewa satu rumah, atau sewa secara individu.   Sewa untuk sebuah rumah ialah aud350 semalam, ada 3 buah bilik tidur, 9 katil, 1 sofa bed, dan 2 katil lipat tambahan (A$30/katil).

Kalau cuaca dah sejuk antara Mei dan Oktober kena tidur atas katil, gigil satu badan kalau tidur atas lantai.  Kalau datang masa panas antara November dan April, bolehlah nak terdampar atas lantai pun.

Boleh sewa secara individu, bayaran seorang ialah A$50 semalam.  Satu bilik ada 3 katil.  Kalau anda datang menyewa seorang, kenalah bertoleransi berkongsi bilik dengan 2 pelancong lain sekiranya ada. Saw



Ada 3 bilik semuanya, 2 bilik lagi 
1 katil bujang +1 double decker


Homestay Masjid Darul Imaan -  



Rumah kami, private room 

Kami sudah pulang ke Malaysia pada Jan 2025. 

Tapi kami pernah sewakan bilik tamu melalui Airbnb di rumah dari 2015 hingga 2018, dan rasa seronok dapat berkenalan dengan ramai orang dari satu dunia. 

 


Anak kami Aisyah yang boleh berbahasa Jepun dengan pelancong dari Tokyo.  


Pekan Arncliffe



Pekan Arncliffe berada 10-15 minit driving dari airport, dan 20 minit naik keretapi dari Central Station Sydney.   Dari central, boleh naik light rail ke Paddy's Market dan Fish Market.  Atau naik keretapi ke Circular Quay dimana Opera House dan Sydney Bridge terletak.  

Pekan ini kecil sahaja, dari atas stesen dah nampak kedai gunting rambut dan farmasi.  Depan farmasi ada mesin wang ATM. Berjalan ke kanannya, ada perpustakaan (free wifi, aircond), kedai serbaneka, dan klinik Zahrah.  Bawah stesen, di sebelah kiri, ada warung piza  kepunyaan suami isteri yang sudah berusia, berbangsa Arab. 

Sepanjang jalan di pekan boleh jumpa pejabat POS, mini market IGA,  kedai gunting rambut, 2 kedai daging halal, kedai runcit Arab, Thai restoren, Indian restoren (tiada cert halal), bakery (Cina), dan kedai serbaneka  Cina (alat tulis, barang dapur, inner shirt, tools, semua ada) berdekatan kedai gunting rambut.



Kedai  kebab dan ayam panggang di Arncliffe  



Manisan Lebanese


Muslim quarters:  Lakemba

Lakemba  terletak  11 km dari Arncliffe, 60% penduduknya Muslim, majoriti berbangsa Arab. Tempat ni jadi pilihan bagi pelancung2 berusia seperti ummi dan ayah.
 
Kalau pergi sana puas dapat masuk macam2 kedai makanan Arab dan kedai2 Asia lain termasuk Bangladesh, Nepal, Cina  dan Jepun halal, Indonesia dan Melayu kepulauan Cocos. 

Cuma 20 minit berkereta dari rumah kami. Naik train pun boleh juga, tapi ambil masa lebih lama.  

Al Aseel  Restoren

Di Paddy's Market pun ada kebab.   Kebab ayam (ketulan ayam cucuk dengan lidi sate) cuma A$3.00. Yang lain2 tu lengkap dengan salad dan nasi/kentang harga A$10.00 ke atas.  Kalau masuk kedai kebab  atau piza pastikan ada tanda halal, sebab separuh Arab Lebanese di Australia beragama Kristian.

Salah satu lokasi wajib pengunjung ke Sydney ialah Fish Market.  Biasanya kami akan bawa mereka makan tengahari di situ dalam pakej lawatan  bandar Sydney.

Pelbagai pilihan makanan laut ada di Fish Market

Kedai Thai halal pun ada di Sydney.  Time for Thai terletak di simpang George St dan Valentine St.  Harga semangkuk tomyam ayam A$10, daging A$13 dan seafood A$15.  Ada surau di tingkat atasnya.  Restoren Thai halal lain  terletak di pekan di Arncliffe,  Rockdale dan Randwick.

Time for Thai

Restoren Melayu Ikhwan Cafe Sydney terletak di  Pyrmont, boleh berjalan kaki merentas jambatan dari Darling Harbour.  Di belakang Maritime Museum.  Atau boleh pergi menaiki light train yang sama untuk ke Paddy's Market dan Fish Market.  

Ikhwan Cafe Sydney


Semasa lockdown 2020-2021, sekumpulan pemuda Melayu di Sydney telah membuka kedai Malaysian Groceries yang menjual pelbagai jenis barang dan makanan panas untuk takeaway. 


Malaysia Groceries Punchbowl



Kedai Asian berdekatan Wolli Creek Train Station jual mee maggie dan beberapa makanan segera lain dari Malaysia termasuk roti canai dan capati  yang disejukbeku.

mamee chef instant


Ummi paling suka Sydney musim bunga yang bermula seawal bulan Ogos, tapi paling meriah dari September hingga November.    Suhu ketika ni sekitar 15 - 25 Celcius, macam di Cameron Highland. Bila dah masuk musim panas December - Mac, boleh naik sampai naik sampai 48 Celcius!

Musim sejuk 2016, kami pergi ke Snowy Mountain berhampiran Canberra.  Dapat merasa main salji yang memang tak de di Sydney.  Boleh pergi ke sini melalui pakej kami, atau bas2 yang pergi balik hari dari Sydney ke Snowy Mountains.




Lihat gambar2 menarik di Sydney , sila ke facebook  HomestayMelayuSydney atau instagram  homestay_melayu_sydney.

Ahad, 29 Mac 2015

Proses Memohon PR Australia Part IV - Saat Akhir

 
Sepatutnya jawapan samada kami berjaya dapat PR atau tak, seawal bulan September 2014 lagi.  Tapi hari demi hari, bulan demi bulan, kami tak dapat jawapan.

Sehingga bulan Disember 2014 tu, umi dah anggap hmm tak dapatlah agaknya. Lagipun, beberapa minggu sebelumnya ISIS telah menyerang sebuah cafe di Sydney.  Umi baca forum2 di Australia, memang mereka tidak melihat ISIS sebagai penjenayah biasa, tetapi sebagai wakil jihad Islam, kerana itu yang dicanangkan oleh ISIS.  Jadi imej Islam sudah sangat teruk di mata rakyat Australia sekarang.  Umi pun dah takde semangat nak ke sana lagi.

Tapi pertengahan bulan Januari 2015, kami dapat surat dari Immigration Australia.  Kami telah diberikan PR Australia, tetapi due date untuk aktifkan visa mestilah selewatnya pada 2 Feb 2015.  Cuma dua minggu dari tarikh surat.   Ejen kata biasanya 6 bulan dari tarikh surat.


Setelah berkomunikasi dengan Immi. Australia, memang betul tiada apa kesilapan pun pada surat tersebut.  Maka berangkatlah kami ke Australia pada 2 Februari, pukul 11.30 malam dari Malaysia.  Sebab beli tiket last minute, memang tambang paling mahal dalam sejarah, habis RM20K untuk 7 orang. Visa ini boleh digunakan sehingga 5 tahun, selepas itu samada  diperbaharui atau mohon citizenship (ummi tak berminat).

Sampai Sydney pukul 11 am, 3 Feb 2015, agak cuak juga, adakah kami dah terlewat dan akan ditendang keluar balik Malaysia?  Tapi alhamdulillah, pegawai immi pun sangat peramah dan kata tiada masalah apa pun.   Cuma visa umi aje rupanya tersilap tarikh lahir tahun 1969.   Tapi dengan satu panggilan ke ibupejabat Immigration, masalah selesai di situ.

Australia sedang musim panas.  Kami sewa kereta Toyota Prius 7 seaters, agak kecil sebenarnya,  dan pergi ke Malaysia Hall di Alison Road untuk menginap.  Sesat jugaklah mencari, padahal tepi jalan je, sebelah stesen minyak Shell  Seberang jalan, padang lumba kuda dan USNW.  

Kami berada di sana selama 5 hari 4 malam.   Dapat family room, ada satu katil king, satu queen, dan 2 single.  Suhu ketika tu 23 Celcius, panas sebenarnya.  Tapi sebab baru tiba dari Malaysia yang bersuhu 35 Celcius, rasa sejuk je.  Mulai 2016, cuma student sahaja yang boleh menyewa di Malaysia Hall.


Kami tak melancong ke mana-mana pun di Sydney sebab tujuan utama nak aktifkan visa aje.  Kami lebih banyak berjalan di pekan Randwick mengenali cara hidup di sana. Pergi grocery, jogging pagi2, dan jalan2 tepi pantai.  Dari pekan Randwick dah nampak laut.

Pekan Randwick 

Berkenalan dengan caterer abang Sam dan permanent staf kak Nani.  Staf lain semuanya student yang kerja part time dan jadi resident kat situ.  Abang Sam offer kami sewa rumah 3 bilik di sebelah rumahnya di Valda Avenue, Arncliffe yang terletak 10 minit dari lapangan terbang Sydney.  Ayah terus setuju, sewa AUD 2400 sebulan.  Ayah dah sign kontrak selama 2 tahun.   

Kami pulang ke Malaysia selepas itu.  Bulan Mac 2015, ayah berpindah dahulu seorang diri ke Sydney.   Bulan Jun umi, Basel dan Hf pula ikut ke sana.  3 orang anak masih di Malaysia, tinggal di asrama masing2.  Mereka tiba di Sydney pada Disember 2015.

Selepas 2 tahun, ayah dah pasrah memang susah nak cari kerja  selepas usia menghampiri 50 tahun dan tiada apa2 kelayakan dari Australia, walaupun ayah ada pengalaman lebih 20 tahun kerja di Malaysia dan sudah berada di peringkat pengurusan.  

Ketika ini,  kami keluarkan saving dari Malaysia hampir RM8000 setiap bulan untuk bayaran sewa rumah sahaja.  Jadi ummi nasihatkan sesiapa yang nak migrate Australia, pastikan dah dapat kerja baru pindah, atau sediakan duit secukupnya untuk perbelanjaan  selama 2 tahun di sana

Di sini selain Tour Guide, ayah juga pernah bekerja buruh kilang,  penghantar barang, pemetik buah, pekerja kantin Malaysian Hall,  mengemas kebun, dan apa sahaja asalkan halal. Usia dan  diabetes menghadkan pergerakannya kerana ayah tak boleh terluka. 


Pokok bluberi di bawah bumbung ini hanya sebahagian kecil sahaja. Majoriti  ditanam atas tanah ladang yang luas dan terdedah kepada sinar terik matahari.

Barulah ummi sedar mewahnya hidup kami semasa di Malaysia dulu.   Apapun kami bersyukur kerana masih ada rezeki, rumah untuk berlindung dan sihat tubuh badan tidak terlantar dan menyusahkan sesiapa.  Sekali kaki sudah melangkah, kami akan teruskan juga. 

Alhamdulillah, sejak 2021, anak pertama kami Rayyan sudah bertugas sebagai guru sekolah. Ringanlah sedikit beban di bahu ayah.

Proses Memohon PR Australia Part III - Medical Checkup

Bila dah siap proses english tu, kami diminta untuk translate semua sijil2 surat beranak dan sijil2 akademik yang diperlukan.  Setahun kemudian iaitu bulan Mei 2014, lepas semua borang dah lengkap dan permohonan kami dah dihantar, kami diminta untuk buat medical check up di hospital yang telah ditetapkan.

Masa tu Aisyah dan Sarah tengah belajar di Perlis, kenalah mohon cuti dan datang ke KL untuk proses medical check up.   Cikgu-cikgu pun semua suspectlah sebab apa kena pergi KL nak check up darah semua ni.  Takkan nak pergi travel pun kena buat macam ni.  Nak pergi umrah ka?
  
Kami buat check up di Life Care Diagnostic Medical Centre.    Selain untuk visa, hospital ni juga termasuk dalam list  Medical Tourism, jadi ramailah bangsa asing yang jadi pesakit.  Lama juga habis masa kat situ.  Ayah pula didapati ada darah tinggi, 160 bacaannya.  Tapi pelik langsung tak nampak pun dari luaran, nampak sihat je.  Umi yang paling tinggi pun pernah 140, tapi luaran nampak macam dah parah sangat, dengan sakit kepala yang amat.

Tahun lepas ayah didapati ada kencing manis masa buat medical check up untuk haji.  Lepas tu memang satu keluarga kami diet kurangkan makan gula.  Alhamdulillah masa buat check kali ni, dah ok.

Oleh kerana tu, ayah kena pergi lagi esok untuk tengok samada darah tingginya dah turun.  Hari ni ayah kena banyak minum air.


 sambungan:  Harapan Tipis

Sabtu, 28 Mac 2015

Proses Memohon PR Australia Part II - IELTS

Salah satu syarat permohonan PR kena ada bukti kemahiran dalam bahasa English.  Kami pergi daftar IELTS di Taylor College, JB.  Ayah  kena lepas 7.0 (proficient) untuk setiap kategori yang akan menyumbang 10 points.  Kalau tak lepas, dapat 0 point.  Kalau dapat 8.0 dalam setiap kategori, boleh dapat 20 points. Kalau tak nak ambil IELTS, boleh juga ambil TOEFL atau exam lain yang diiktiraf.   

Point dari pasangan juga boleh ditambah, tetapi point maksimum yang boleh diberi oleh pasangan adalah 5 sahaja.   Points diambil kira dari tahap pendidikan, bidang pekerjaan dan competency in English.

Untuk umi yang dah berusia melebihi 45 tahun ni, nak belajar semula dan ambil test lagi memanglah berat.  Tapi dimana ada kemahuan, di situ ada jalan.  Alhamdulillah, umi lepas markah IELTS yang ditetapkan, untuk pasangan, kena dapat 6.0 (competent) bagi setiap kategori.   Cukup syarat sebagai pasangan pemohon.

Selain English, tahap pendidikan juga diambil kira.  Ijazah sarjana dan Master akan diberi 15 points manakala pemegang sijil PhD akan dapat 20 points.

Mereka yang belajar serta pernah bekerja di Australia akan dapat point lebih banyak lagi sehingga 20.  Kami dapat 0 point di situ.  Bidang pekerjaan yang hendak dipohon (bersama bukti kelayakan) mestilah yang ada dalam list yang disenaraikan oleh negeri atau regional berkenaan.

Syarat seterusnya umur tidak melebihi 50 tahun.   Umur antara 25 hingga 32 dapat paling banyak points.

Umur 18-24: 25 points, 25-32: 30 points, 33-39: 25 points, 40-44: 15 points, dan akhirnya 45-49: 0 points.

Masa mohon tu umur ayah masih 44, tapi kalau mereka proses lambat ke tahun berikutnya, dah 45.  Jadi kami mungkin dapat 15 atau 0 points di situ, bergantung bila permohonan kami diproses.  Umur anggota keluarga lain tidak diambilkira, kerana pemohon utama sahaja yang dilihat.  Semua maklumat ni masih valid semasa kami memohon.  Link untuk maklumat di atas sudah terputus, dan belum ada link terbaru untuk dikongsi.

Di Taylor ni pun ada program pra u untuk lepasan SPM ke Australia.   Kami masukkan Rayyan ke Intec di Shah Alam dengan yuran RM33,000 untuk program satu setengah tahun. 

Sambungan:  
Medical Check Up,
Harapan Tipis

Selasa, 17 Februari 2015

Proses Memohon PR Australia Part I - Skilled Assesment

Pada tahun 2013, ayah suarakan pendapat untuk mencari kerja dan pindah ke Australia.

Australia bukanlah bumi yang ummi teringin nak pergi melawat, apatah lagi tinggal di sana.  Dengan ramainya immigran di sana, lebih separuh rakyatnya lahir dari negara lain atau mempunyai ibubapa yang lahir dari negara lain.  Majoriti rakyatnya dari UK yang memang ummi ada pengalaman pahit pun semasa berada di sana.  Kalau berjalan-jalan di bandar besar Australia pula, pasti terasa seperti berada di negara Asia sahaja.  Dengan rupa Cina dan India  di mana-mana.

Data tahun 2006, dari 92,000 rakyat Malaysia yang berada/berhijrah di Australia, 70.2% berbangsa Cina, 6.2% India dan  selebihnya bumiputra.



Bentuk muka buminya sahaja dipenuhi dengan gurun, cuma sebahagian kecil sahaja yang sesuai untuk dijadikan tempat tinggal.


Ayah kata penduduknya sama ramai macam Malaysia, tapi luas negara 20 kali ganda.  Memanglah luas ......  tapi penduduk bersempit2 kat jalur2 sempit tepi laut tu.

Ayah pula pilih Sdyney jika nak pindah kesana.   Itu tempat paling mahal di Australia.   Harga terkini tahun 2018 rumah 3 bilik di Sydney =  Aud $1.5 juta @ RM4.5 juta.  Semakin menghampiri kawasan gurun, lagi murah harga rumah, sehingga boleh dapat serendah $100,000 @ RM300,000.

Penduduk Australia tertumpu di bandar2 besar di tepi laut


Faktor satu lagi yang ummi tak berkenan, cuaca Australia yang agak panas dan di tepi laut, penduduknya ramai yang berpakaian setipis dan sesingkat yang mungkin.  Inilah bayangan penduduk Australia, terutama Sdyney yang sentiasa mengganggu di minda ummi.

Ummi rindukan Canada dimana penduduknya terpaksa menutup aurat hampir sepanjang tahun sebab suhu yang terlalu sejuk.

Tetapi ayah kata Canada terlalu jauh, susah nak balik jika ada kecemasan di Malaysia.

Bermula April 2013.  Langkah pertama yang ayah buat ialah dapatkan ejen.

Ayah contact saja ejen pertama yang dia jumpa di internet. Pastikan ejen ni sah. Sebenarnya tak perlu pakai ejen pun boleh, kalau rajin buat homework dan buat semua proses sendiri.  Tak payah bayar ejen, jimat duit banyak.  Kami bayar  perkhidmatan ejen  secara berperingkat bagi setiap proses yang diperlukan.  Ketika itu mungkin kami memang perlukan khidmat ejen sebab kami berdua sangat sibuk dengan kerja dan tiada masa nak belajar sendiri.

Kemudian kenalpasti jenis visa yang diperlukan.  Kalau tak pasti atau tiada masa nak explore sendiri, boleh dapatkan khidmat nasihat ejen.  PR visa ni ada bermacam kategori, ayah pilih kategori Skill Independent Visa.   Bagi kategori visa ini, ayah mesti melepasi 65  points (tahun 2015) dalam skilled assessment untuk dipertimbangkan layak mendapat PR.  Belum tentu dapat walau kelayakan tinggi, sebab yang memohon jauh lebih ramai dari jumlah yang akan diterima bagi tahun itu.

Ayah mesti sediakan proposal beserta pekerjaan terkini yang sesuai dengan keperluan negeri atau region yang akan menerima kami.  Ketika ini, negeri New South Wales sedang membuka permohonan, dan sebanyak 5 points akan diberikan kepada mana-mana pemohon yang di'nominated' atau 'invited'.    

Update 23/8/2018, jumlah bayaran PR  visa 189/190 = A$3755  @  RM11,300 seorang.   Tahun 2022, bayaran sydah naik A$4115 @ RM12,527.  Ada bayaran tambahan  untuk  ahli keluarga serta cas lain.  Semua boleh rujuk di link yang sama.

Kemudian sediakan dokumen2 yang diperlukan.   Mana2 yang perlu di terjermah (contohnya surat beranak), ia perlu melalui penterjermah bertauliah.   Ejen akan mengumpul dokumen dan sentiasa berhubung dengan kami jika masih ada dokumen yang belum diserahkan.

Langkah seterusnya, bukti competency in English.

Rabu, 11 Februari 2015

Mitsubishi Grandis 2.4, 7 Seaters MPV Sudah Dijual

Ini kereta ayah yang dibeli pada tahun 2009.  Oleh kerana kami akan berpindah ke luar negara, kereta ini terpaksa dijual. 


Kereta:   Mitsubishi Grandis
Beli baru:  2009
Mileage:    135000
Transmission:  Auto 
CC :           2400
Harga asal:  RM 169K
Harga jual:  RM  57K

Besh naik kereta ni untuk perjalanan jauh dan anak ramai sebab ruang seat baris kedua dan ketiga pun besar macam di depan. Cuma seat tengah baris kedua aje kecil sikit tapi sesuai untuk kanak2 kecil atau letak car seat untuk baby.

Kami pernah guna kereta ni untuk hantar 3 anak ke asrama, dengan masing2 bawa beg luggage besar, tambahan 2 anak kecil dan beg pakaian kami lagi, alhamdulillah muat.



Seat baris ketiga boleh dibaringkankan menjadi bonet besar untuk beri ruang letak barang2 saiz besar seperti basikal di belakang.





Ni la satu-satunya gambar kami sekeluarga dekat kereta, tak sangka godek2 ada juga buat kenang-kenangan.

Selasa, 12 Ogos 2014

1 Ogos 2014: Surirumah Sepenuh Masa

September 1992: Ummi mula bekerja di UTM KL, kemudian pindah UTM Skudai.   September 1997 - Mac 2002:  Bercuti tanpa gaji.   Ogos 2014: Bersara awal.  Secara puratanya ummi dah bekerja 17 tahun di sini.  Kalau skim pencen, memang tak dapatlah pencen separuh gaji sebab kerja kurang 20 tahun.  Tapi ummi skim KWSP, yang boleh keluar separuh je semasa usia 50 tahun nanti. 

Sebelum tu ummi dah kerja part time macam2 dari zaman belajar lagi, jual kuih depan rumah, library assistant, computer lab assistant, kilang baju, kilang sarung tangan, dan  sempat 4 bulan di TNB.

Sebab berhenti  cukuplah cakap hati ummi memang kat rumah je, bukan di tempat kerja.  Mohon bersara tak sampai 3 bulan lepas, alhamdulillah dipermudahkan urusan dan diluluskan.

Apa yang ummi nak buat selepas ni?  Ummi rasa nak belajar menjahit.  Pernah menjahit, tapi belajar sendiri2  tanpa kemahiran asas.

Uumi dah selesaikan bayaran rumah, dah ketepikan duit untuk bayaran kereta sehingga Disember, lepas tu samada nak jual atau minta ayah pula tolong bayar.

Uumi tak boleh tidur malam ni sebab terlalu excited agaknya, baru je pagi tadi dapat surat kelulusan tu.  Dah bagitau ayah, alhamduliillah ayah redha je walaupun ayah lebih suka ummi kerja.

Selasa, 25 Mac 2014

Kapalterbang MH370 dan MH17


Malam tadi Malaysia dapat berita menyedihkan, kapalterbang MH370 yang sudah hilang 16 hari, telah disahkan hilang di selatan Lautan Hindi.

Takziah untuk semua kaum keluarga crew dan penumpang yang terlibat, terutama keluarga Kapten Zaharie.  Maklumat dari pemprosesan data satelit Imaarsat, UK. 

Gambar dari BBC News

Gambar dari the Sydney Morning Herald
Graphic:  Jamie Brown

Update: 4 bulan kemudian, MH370 masih hilang belum dijumpai.  Satu lagikapalterbang MAS, MH17 telah terhempas sebab ditembak dalam negara Ukraine yang sedang berperang.

diambil dari www.therakyatpost.com

Semasa ditembak jatuh, Kapalterbang dari Singapura dan India berada lenihkurang 25 km jauh dari MH17.  
diambil dari www.therakyatpost.com

Sehingga hari ini, semua mayat dan jenazah masih berada di Belanda untuk proses pemgecaman.  Kotak hitam pula diseahkan pada Malaysia oleh puak pemisah.


Ahad, 16 Februari 2014

Jual Rumah di Taman Sri Pulai Perdana

Rumah ni ayah beli tahun 2004.  Dah 10 tahun umurnya, tapi kami tak pernah tinggal di sini.  Tahun 2004 hingga 2008 rumah ni kosong je.  2008 penyewa pertama masuk setahun je. Tahun 2009 penyewa kedua masuk sampai sekarang.   Masa penyewa kedua masuk, rumah tu cantik sangat sebab baru dicat.  Sekarang dah nampak agak lusuh.

Tapi kami perlu duit, jadi rumah tu akan dijual.  Kalau sesapa berminat nak duduk dekat UTM Johor, bolehlah beli.  Kelebihan Pulai Perdana ni kalau kerja di Jusco, Giant atau di UTM, ialah tak kena jem teruk masa balik kerja, terutama bulan Ramadhan.  Sapa2 yang duduk di taman jauh dari Pulai Perdana, memang kena tahan sabar je la masa rush hours.

Untuk orang Islam pula, rumah ni sangat dekat dengan masjid Taman Sri Pulai Perdana, ~ 200 meter aje, dari tingkap rumah pun dah nampak masjid.  Tak payah fikir pasal parking kalau pergi solat kat masjid.

Lebih kurang 100 meter di sebelah kiri masjid, ada sekolah rendah agama, dan di seberang jalan sebelah kanan masjid, ada sekolah menengah pula.  Di belakang sekolah menengah, ada pusat rekreasi termasuk kawasan berjogging, bersenam dan permainan kanak2.   Kawasan rekreasi ni seberang jalan kawasan perumahan, dan boleh terus ke pagar belakang sekolah rendah Taman Sri Pulai Perdana.

Ummi pergi ke kawasan rekreasi Pulai Perdana lebih kurang pukul 6 petang, ramai budak2 dan remaja berbagai bangsa di situ.  Ada yang tengah main buaian, bersenam, bola sepak, bola keranjang, dan ada sekumpulan remaja perempuan tengah buat halaqah di tepi padang.  Nampak meriah, selamat dan tenang.  Depan rumah nak jual ni pun ada playground juga, cuma kecil saiznya.

Langsung tak sama macam di Pulai Indah, di mana tasik rekreasi kami tu selain tempat jogging, jadi tempat mat rempit duduk2 sambil buang sampah.  Ummi tak berani lepaskan anak2 main di situ tanpa orang dewasa.  Agaknya sebab terasing dari kawasan perumahan.




Dah ada 2 orang yang tunjukkan minat nak beli rumah kami  tu.  Tapi kami masih iklankan lagi sebab minat belum tentu beli.  Sorang lecturer UTM dan sorang lagi jiran sebelah rumah tu aje.  

Update tentang rumah Pulai Perdana 8/3/14:  Jiran yang berminat tak jadi beli sebab dia mampu RM360K aje, sedangkan ayah nak jual RM400K.     Sebenarnya orang melayu ramai yg telefon tanya tentang rumah tu, tp bila tanya pekerjaan, ayah tau mereka tak mampu nak beli, kecuali mereka buat joint loan atau mereka ada cash extra.  Cina dan India pun ramai yg tanya, tapi bumi lot pula.  Jadi sekarang ni ayah sedang tunggu 2 orang lecturer yg berminat sebab mereka boleh buat loan lebih dari harga rumah tu.

Update 24/3/14:  Ayah dah jual rumah ni pada seorang pemilik Hotel yang boleh bayar cash RM390K.  Kasihan pada lecturer yang dah berkomunikasi dengan ayah selama lebih sebulan, tak sempat dia nak tengok rumah ni dah kena jual.

update 26/3/14:  Pemilik hotel nak minta masa untuk fikir pula.  Rupanya dia tak berbincang dulu dengan isterinya.  Bagus juga, sebab lecturer itupun balik Malaysia hari ni dan bercadang nak tengok rumah.  Malangnya kami balik kampung, jadi kena tunggu hari Sabtu.

update:  Lecturer tak jadi beli rumah.  Ayah bertemu pemilik hotel, tapi lepas tu senyap je lepas tu tak nak cakap apa2.  Biasanya kalau macam ni, berita buruk iaitu tak jadi beli.

update 3 April 2014:  nampaknya semua bakal pembeli yg tertarik lihat rumah kami dari luar, terus tak jadi beli bila masuk ke dalam rumah.  Tak boleh bayangkan macammanan keadaan rumah tu sebab penyewa masih tak keluar lagi.  Kami nak bersihkan rumah tu supaya nampak cantik dan berseri.  Dah bagitau ayah minta penyewa tu keluar, tapi sampai sekarang masih ada di situ.  

Ada ejen hartanah nak tolong jualkan, dia nak bawak orang datang tengok rumah hari  12 April ni.  Taoi biasalah ejen nak ambil untung, dia nak jual harga lebih dari 400K.


Latest update 8 April 2014:  Sehari sebelum harijadi ayah, akhirnya rumah tu dah dapat pembeli.  Kawan ayah sendiri, RM380K.  Takpelah ayah kata, masih dapat untung lagi.  So kansel janji dengan ejen.

-----------------
Rumah corner lot jiran kami di Pulai Indah pun nak jual juga.  Tanahnya lagi besar,  ada pula tanah luas kat luar pagar, rumah dah renovate lebih seratus ribu, harga beli dua ratus ribu.  Untungla sapa yang dapat beli, ada pokok durian, rambutan, cempedak, mangga dan kelapa kat tanah luar pagar.  Sampai sekarang belum dijual lagi.  Tapi bersedialah nak bergerak pukul 6.30 pagi dari rumah kalau tak nak jem teruk nak pergi kerja.

update 15/7/14:  Oleh kerana ramai yang bertanya tentang rumah Pulai indah, ummi pun telefon tuan rumah, dan katanya sekarang dah ada orang yg book, dan sedang uruskan loan dengan bank.  Jadi buat masa ni dah tak available lagi.  Sebulan lagi ummi update rumah tu masih kosong atau tak.

24/7/14: Berita baik.  Loan pembeli atas tu tak lulus, jadi borang permohonan masih dibuka.

updare 1/4/15:  Akhirnya rumah jiran di Pulai Indah terjual juga.  Kami akan dapat jiran berbangsa  Cina. 

Jumaat, 20 Disember 2013

Diet Gula dan Jalan Kaki Setiap Minggu Sebelum Menunaikan Haji

Sebelum ummi dan ayah pergi haji akhir bulan September 2013 baru2 ni,  hampir 6 bulan kami buat persediaan fizikal seperti berjalan kaki berkilometer setiap pagi Sabtu atau Ahad. Selepas buat pemeriksaan di hospital pada awal tahun, ayah didapati ada diabetes. Ummi pula tiada masalah selain tekanan darah rendah bila tak makan.  

Selepas tu, kami terus berjaga2 dalam pengambilan gula.  Gula pasir dan susu pekat manis tak boleh beli.   Kalau nak buat air teh O, kena pakai gula merah.  Disebabkan rasanya yang agak tak boleh masuk, kami biasanya minum air panas teh/nescafe campur susu sejat tanpa guka.  Nescafe 3-1 pun ummi ambil setengah paket untuk kurangkan kandungan gula. (Selepas tahun 2015, umi langsung tak boleh minum nescafe kerana akan sakit kepala).

Selepas keluarga kami mengamalkan minum kurang gula dan tanpa susu pekat manis, memang agak bermasalah masa nak jamu tetamu.  Lidah ummi dah jadi sensitif pada manisan, jadi minuman yang ummi rasa dah cukup manis, rupanya masih tawar pada tetamu.  Jalan senang, ummi sediakan nescafe, milo dan teh 3-1 instant di rumah supaya tetamu boleh bancuh sendiri ikut selera  mereka.

Begitu juga semasa meeting di ofis dan semasa kami suami isteri pergi training haji selama 2 hari.  Semua minuman siap bancuh yang disediakan terasa seolah2 minum pati air gula.   Syukurlah sekarang ni ada air suam disediakan di setiap jamuan, jadi semasa sarapan, ummi akan isi separuh cawan dengan air teh atau kopi yang disediakan, dan separuh lagi ditambah air suam.  Makan tengahari dan malam, ambil air suam sahaja.


Alhamdulillah, lepas buat pemeriksaan susulan, bacaan gula ayah dah normal.  Malangnya dengan jaga makan dan jalan kaki tiap minggu tu berat badan ummi langsung tak turun, masih 60 kg macam dulu.  Bezanya sekarang ummi rasa badan fit dan ringan, jalan kaki jauh pun tak rasa penat.

Semasa di Mekah, kami berjalan kaki sejauh hampir 4 km setiap hari dan ditambah pula bertawaf sunat 7 pusingan setiap pagi dan petang.  Alhamdulillah, berkat exercise setiap minggu sebelum ni, semua tu dapat dilalui dengan mudah.  Kalau dataran kaabah terlalu sesak, kami bertawaf di dalam masjid aje dan jaraknya dah tentu sangat jauh berbeza.  Kerana cuaca di Mekah yang panas kering, kami jarang berpeluh semasa berjalan santai.  Biasanya peluh keluar semasa tawaf sahaja, kerana suasana yang sesak dengan orangramai.

Selepas balik dari Mekah, ummi terus timbang badan sebab semua seluar panjang yang ummi bawa dah longgar.  Patutlah, berat ummi dah 55 kg.  Tapi selepas sebulan di Malaysia, cara hidup pun kembali rutin, berat ummi naik 56 kg.

Di bawah gambar ummi semasa berat 55 kg dan 60 kg.